Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Pemerintah bukan cari pihak dipersalahkan bagi kebakaran hutan
Shanmugam: Pemerintah bukan cari pihak dipersalahkan bagi kebakaran hutan
Syarikat berdaftar di Singapura yang telah diberi notis oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) telah dimaklumkan dalam satu pertemuan bersama wakil peringkat tertinggi pemerintah Singapura pada 28 Oktober bahawa usaha memperoleh maklumat daripada syarikat berkenaan bukanlah bagi mencari pihak untuk dipersalahkan.
Sebaliknya, ia adalah usaha Singapura untuk melakukan perkara yang benar, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Berkongsi kepada media selepas tamat pertemuan yang diadakan di bangunan The Treasury, beliau berkata pertemuan itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, di samping dirinya sendiri.
Mereka turut diiringi Peguam Kanan Davinder Singh, dan pegawai kanan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC), NEA dan Kementerian Undang-undang (MinLaw).
Encik Shanmugam berkata wakil daripada semua syarikat yang berkenaan hadir, dengan para wakil tersebut menyatakan hasrat memberi kerjasama sepenuhnya.
10 syarikat berdaftar di Singapura yang telah diberi notis NEA di bawah THPA pada 23 Oktober adalah Asia Pulp & Paper Company; Asia Pulp & Paper Company (China); Bumitama Agri; Golden Agri International dan First Resources.
Ini di samping Indofood Agri Resources; Kencana Agri; TSH Global Plantation; TSH Oversea dan Wilmar International. Sebanyak lima daripada 10 syarikat sedemikian tersenarai dalam bursa SGX.
Berikut senarai individu yang mewakili syarikat berkenaan:
- Bumitama Agri diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif, Encik Lim Gunawan Hariyanto
- First Resources diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Encik Ciliandra Fangiono
- Golden Agri International diwakili oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Franky Oesman Widjaja
- Indofood Agri Resources diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Encik Mark Julian Wakeford
- Kencana Agri Ltd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Encik Albert Maknawi
- Wilmar International diwakili oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Kuok Khoon Hong
- TSH Resources Berhad (syarikut induk bagi TSH Global Plantation dan TSH Oversea) diwakili oleh Pengerusi, Encik Kelvin Tan
- Sinar Mas Group (syarikat induk bagi Asia Pulp & Paper Company dan Asia Pulp & Paper Company (China)) diwakili oleh Penasihat Kanan, Encik Bernard Tan
Beliau berkata MinLaw akan turut mengumumkan senarai firma siasatan dan firma guaman yang boleh dilantik dalam panel pakar, sambil menambah bahawa syarikat tersebut diminta melantik satu pasukan daripada panel tersebut tidak lama lagi.
Ini menyusuli pengumuman kementerian itu pada 23 Oktober terhadap penubuhan panel pakar bagi menyokong usaha mengenal pasti dan memastikan syarikat yang mungkin bertanggungjawab atau menyumbang kepada kebakaran yang menyebabkan jerebu di Singapura dipertanggungjawabkan
Panel itu akan melibatkan firma guaman, audit dan penyiasatan.
Ia bakal menghimpunkan golongan karyawan yang mempunyai kepakaran, rangkaian dan keupayaan untuk menjalankan siasatan rentas sempadan, menjejaki hubungan korporat yang kompleks serta meneliti rantaian bekalan yang merentasi pelbagai bidang kuasa.
Firma guaman, Davinder Singh Chambers, telah dilantik sebagai penasihat bagi menyelaras tugas yang dijalankan oleh panel pakar tersebut.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata: “Kami perlu memastikan syarikat-syarikat di sini menjalankan operasi dengan cara yang tidak menjejaskan Singapura atau rantau ini.
“Pemerintah Singapura memandang serius perkara ini. Saya telah memaklumkan mereka (syarikat berkenaan) kami bersungguh-sungguh untuk mengambil tindakan dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap isu ini.
“Kami akan meneroka segala saluran perundangan dan kawal selia yang tersedia, serta menggunakan segala kuasa yang ada pada kami untuk menentukan pihak bertanggungjawab, sekiranya terdapat unsur kebertanggungjawaban.
“Kami akan pastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.”
Sungguhpun demikian, beliau memberi penekanan bahawa ini bukanlah bererti syarikat berkenaan didapati bersalah kerana apa yang dilakukan Singapura adalah “misi mendapatkan maklumat semata-mata”.
Beliau berkata sekiranya syarikat berkenaan didapati bersalah selepas hasil siasatan dan ingin keluar dari Singapura, demi kepentingan rakyat Singapura, syarikat sedemikian “harus menanggung akibatnya”.
Pertemuan wakil Singapura dengan wakil syarikat berkenaan menyusuli pendekatan Singapura untuk menggunakan setiap instrumen perundangan dan kawal selia yang tersedia agar syarikat terkait menyebabkan jerebu serantau dipertanggungjawabkan.
Hal ini diutarakan Encik Shanmugam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 19 Oktober tatkala jerebu mencapai tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat untuk beberapa hari pada awal Oktober.