Mencari cara memastikan ekonomi Singapura kekal relevan akan menjadi satu tugas penting bagi pemimpin generasi keempat (4G) negara ini pada tahun-tahun mendatang, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 29 Disember.
Harga tanah dan tenaga kerja tinggi di negara ini akan membuat pelabur asing mempertimbangkan keputusan mereka untuk melabur di Singapura, ujar beliau.
Syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan pula menghadapi kesukaran kerana “bukan mudah mendapatkan tenaga kerja”, tambah Encik Shanmugam.
“Sesiapa yang pernah ke India dan China akan tahu ada ratusan juta orang – bijak, rajin, dan bersemangat – yang berupaya melakukan semua yang kita lakukan.
“Oleh itu, persoalan bagi pemimpin 4G ialah mengenai kerelevanan ekonomi,” kata Encik Shanmugam.
Beliau menambah bahawa isu itu adalah cabaran serius yang perlu ditangani Singapura sepanjang lima hingga 10 tahun akan datang, dan pemimpin 4G telah memikirkan tentang cabaran-cabaran itu untuk beberapa waktu.
Encik Shanmugam berkata demikian di sebuah acara budaya yang meraikan sejarah dan tradisi masyarakat Sikh, Naam Ras Kirtan Darbar, di Singapore Expo dari 26 hingga 29 Disember.
Acara itu dihadiri lebih 40,000 pengunjung, lapor The Straits Times (ST).
Dalam ucapannya, Encik Shanmugam mengakui Singapura berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding negara lain.
Sebagai contoh, terdapat kurang kebimbangan mengenai isu perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan di sini berbanding negara lain.
Beliau juga memberi contoh berkenaan negara lain yang menghadapi masalah seperti inflasi global, ketidakstabilan negara, seperti Iraq, Iran dan Syria, dan peperangan di Eropah dan Timur Tengah.
Menurut Encik Shanmugam, ketegangan antara Amerika Syarikat dan China juga merupakan salah satu sebab dunia berada dalam “situasi agak berbahaya”.
Mengenai kedudukan Singapura di tengah-tengah isu politik global tersebut, Encik Shanmugam mengumpamakan negara ini sebagai “sebuah perahu kecil di tengah lautan luas”, dan lautan itu “menghadapi banyak ribut taufan dan angin kencang”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg