Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Polis akan teliti komen perkauman sasar masyarakat India yang memalukan
Komen berkait banjir Nepal, hubungan SIA-Air India; pandangan minoriti tidak boleh jadi kelaziman, jejas keharmonian sosial S’pura
Polis sedang meneliti beberapa komen perkauman dalam talian yang “memalukan, mencerca dan tidak boleh diterima sama sekali” dan menyasarkan masyarakat India berkaitan banjir di Nepal serta hubungan antara syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dengan Air India, kata Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam.
Bercakap dalam satu sidang media pada 5 September di Blok 166 Yishun Ring Road, Encik Shanmugam berkata komen sedemikian “melampaui batas”, sambil memberi amaran untuk tidak membiarkan segelintir individu “meracuni” orang lain atau sentimen perkauman menjadi kelaziman sehingga menjejas keharmonian sosial Singapura.
Menurutnya lagi, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) akan meminta wadah dalam talian untuk menurunkan komen yang melanggar garis panduan mereka.
Kata beliau, terdapat lebih banyak komen berkaitan perkauman terhadap masyarakat India di Singapura sejak kebelakangan ini, dengan sebahagiannya berasal dari luar negara dan disemarakkan dari sana.
Encik Shanmugam memberi amaran jika dibiarkan, pandangan sedemikian boleh secara beransur-ansur menjadi sesuatu yang dianggap biasa sebelum menular ke dalam wacana awam dan politik.
“Hari ini orang India, esok orang Melayu, pada hari lain pula orang Cina. Bagaimana kita mahu mengekalkan keharmonian sosial dalam keadaan seperti ini?” katanya.
Menurut Encik Shanmugam, Singapura sebagai sebuah negara kecil berbilang kaum dan etnik tidak mampu berpecah belah mengikut garis kaum atau agama kerana ia akan menghakis perpaduan yang selama ini menjadi kekuatan negara.
Antara komen yang dikecam beliau ialah mengenai warga Singapura yang dilaporkan hilang dalam banjir di Nepal baru-baru ini.
Beliau merujuk kepada komen yang mempersoalkan sama ada mereka yang hilang itu benar-benar rakyat Singapura kerana kelihatan seperti orang India, serta komen menggunakan istilah ‘ABNN’, yang disifatkannya sebagai satu penghinaan.
Encik Shanmugam mempersoalkan bagaimana seseorang boleh membuat komen sedemikian ketika ramai orang terkorban dalam bencana tersebut dan ada warga Singapura masih hilang.
Beliau berkata pihak media juga memaklumkannya bahawa beberapa komen terpaksa dipadam kerana kandungannya terlalu buruk.
Apabila ditanya bagaimana pihak berkuasa boleh menangani komen yang dibuat secara tanpa nama, Encik Shanmugam menerangkan polis akan menanganinya sebaik mungkin, sambil menegaskan bahawa seseorang tidak semestinya dapat terus berselindung di sebalik identiti tanpa nama.
Encik Shanmugam berkata sikap perkauman terpendam wujud dalam kalangan segelintir masyarakat di kebanyakan negara dan merentasi pelbagai kaum.
“Di Singapura, kita telah mengambil pendirian tegas untuk melindungi fabrik masyarakat berbilang kaum dan agama serta mengekalkan keharmonian sosial.
“Saya mengambil keputusan untuk bersuara kerana kita dapat melihat apa yang berlaku di negara lain.
“Pada mulanya, segelintir individu membuat kenyataan mencerca seperti ini. Lama-kelamaan, ia menjadi lumrah, sebelum menular ke arus perdana sehingga pemimpin politik dan masyarakat turut menyuarakannya,” terang beliau.
Namun, beliau menegaskan bahawa pandangan minoriti itu tidak harus disalah anggap sebagai mencerminkan pandangan majoriti rakyat Singapura.
Beliau merujuk kepada sekitar $3 juta yang dikumpulkan menerusi kempen Palang Merah Singaupura (SRC) bagi membantu mangsa banjir di Nepal, dengan sumbangan datang daripada masyarakat pelbagai kaum.
Menurutnya, itulah gambaran sebenar masyarakat Singapura, tetapi republik ini perlu memastikan kumpulan minoriti yang menyuarakan pandangan perkauman tidak “meracuni” orang lain.
“Kita tidak harus bertolak ansur dengan perkara ini. Ini bukan siapa kita sebagai rakyat Singapura,” tegas Encik Shanmugam.
