
Pembangunan wanita dan kesaksamaan jantina merupakan topik perbincangan berterusan. Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkongsi pandangannya mengenai topik itu dari beberapa aspek semasa hadir selaku tetamu terhormat di pelancaran buku 'Gender Equality: The Time Has Come' tulisan Cik Corinna Lim, Felo kelapan S R Nathan, kelmarin. Berikut sedutan ucapan beliau di majlis itu.
KITA telah mencapai prestasi agak baik dalam bidang ini - kadar celik huruf. Wanita berusia 15 tahun ke atas, jika anda lihat dari 1965 hingga 2020, kini 96 peratus. Angkanya telah meningkat lebih seganda.
Kita berada di kedudukan ke-12 dalam kalangan 162 negara dan kedua di Asia bagi kesaksamaan jantina dalam Laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2020.
Tetapi yang penting juga ialah realiti hidup wanita di Singapura.
Jadi, jika anda melihat di tempat kerja, prasangka, stereotaip jantina. Seorang lelaki yang tegas mungkin disifatkan sebagai "pendesak", manakala seorang wanita tegas mungkin dianggap "suka mengarah, atau "bossy", dan ia kerap mengundang komen kurang sopan. Di rumah, wanita umumnya masih memikul lebih banyak tanggungjawab domestik.
Seperti yang Corinna katakan, Pemerintah tidak boleh mengubah perkara ini sendirian. Ia benar-benar memerlukan usaha seluruh masyarakat - keluarga, syarikat, NGO (Pertubuhan Bukan Pemerintah), masyarakat, semua orang.
Undang-undang dan dasar perlu disertakan dengan perubahan minda.
Di sekolah dan di rumah, anak--anak kita perlu diajar bahawa rasa hormat antara lelaki dan perempuan adalah satu perkara asas. Kita harus menggalak anak-anak kita mengejar aspirasi mereka berdasarkan minat dan kekuatan mereka, bukan stereotaip jantina yang ketinggalan zaman.
Di tempat kerja, majikan kini dikehendaki melayan semua pencari kerja dan pekerja secara adil berdasarkan merit. Garis Panduan Tafep (Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif) memperuntukkan perkara ini.
PM (Perdana Menteri) mengumumkan semasa NDR (Rapat Hari Kebangsaan) tahun ini bahawa Pemerintah sedang menimbangkan undang-undang antidiskriminasi yang jelas akan melindungi wanita.
Perundangan sahaja tidak akan mewujudkan kesaksamaan, tetapi pendirian kita haruslah cuba mengurangkan diskriminasi di tempat kerja dalam apa jua cara yang boleh.
Beralih kepada keselamatan dan melindungi wanita. Saya rasa pencapaian kita sangat baik dalam bahagian ini. Kaum wanita kita secara am berasa selamat di Singapura, walaupun mereka keluar lewat malam. Saya sangat fokus mengenai perkara ini. Kita mempunyai undang-undang sangat tegas dan penguatkuasaan ketat, dan setiap tahun, saya ke Parlimen dan mengatakan bahawa saya akan menjadikannya lebih tegas.
Dan undang-undang kita sentiasa dikemas kini untuk merangkumi tingkah laku yang berkembang berdasarkan teknologi baru.
Pusat-pusat pakar keganasan keluarga juga sedang dipertingkat untuk menyediakan kaunseling dan campur tangan kepada mangsa keganasan, termasuk keganasan seksual tidak melibatkan keluarga.
Pasukan Petugas Keganasan Keluarga yang kita bentuk, dipengerusikan bersama Menteri-Menteri Negara, Cik Sun Xueling dan Profesor Madya Faishal Ibrahim, mengeluarkan laporannya tahun ini, pada 23 September 2021.
Saya menggesa orang ramai supaya melihat laporan itu dengan teliti kerana ia satu laporan yang sangat menyeluruh yang membincangkan bagaimana perkara-perkara ini perlu ditangani di kawasan kejiranan.
Jika anda berpendidikan tinggi, anda boleh menjaga diri anda sendiri. Anda berada dalam satu kategori. Jangan salah anggap, saya bukan seorang yang percaya bahawa keganasan dalam keluarga hanya berlaku dalam kelas sosio-ekonomi tertentu atau hanya sesetengah wanita terjejas. Ia merentasi keseluruhan spektrum. Tetapi bagaimana ia berfungsi di kawasan kejiranan, bagaimana kita membantu wanita itu?
Saya fikir laporan ini, jika dilaksanakan dengan baik, akan membuat perbezaan ketara pada landskap, dan cara mangsa keganasan - termasuk keganasan keluarga - dibantu.
Saya akan sentuh secara ringkas tiga bidang daripada kuliah Corinna: Cuti ibu bapa, termasuk 'Kesaksamaan Jantina' dalam Perlembagaan, dan Perkhidmatan Negara untuk wanita.
CUTI IBU BAPA
Mengenai cuti ibu bapa, Pemerintah mungkin memperkenal undang-undang untuk menyamakan atau meningkatkan cuti ibu bapa yang diberikan syarikat.
Tetapi, apabila kita membicarakannya, saya juga akan meminta kita ingat bahawa akhirnya, sektor swasta yang menyediakan kebanyakan pekerjaan di Singapura, seperti di kebanyakan negara lain.
Dan ada had pada apa yang boleh Pemerintah minta pihak swasta lakukan.
Apa yang boleh kita minta bergantung pada keadaan ekonomi kita, jadi apabila kita bandingkan dengan negara lain, kita perlu melihat apakah sistem itu boleh disesuaikan di Singapura.
Realiti bagi kita, memandangkan saiz geografi kita yang kecil, ialah pelaburan asing adalah satu bahagian penting dalam landskap ekonomi kita, yang memacu ekonomi kita, dan syarikat melabur di sini perlu berdaya saing di peringkat antarabangsa, kerana ekonomi dalaman kita terlalu kecil.
Perniagaan akan mengambil kira pertimbangan kos dalam menempatkan ibu pejabat atau kemudahan mereka di Singapura.
Saya beri contoh. Sebuah syarikat perunding bernama TMX Global mengeluarkan laporan bulan lepas. Ia bertajuk 'Migrasi Rantaian Bekalan Hebat - Membahagikan Kos Perniagaan di Asia'.
Menurut laporan itu, kos purata bulanan menjalankan perniagaan di Singapura adalah yang tertinggi dalam kalangan negara di Asia Tenggara dan India, dan puratanya kira-kira 64-76 peratus lebih tinggi, berbanding negara lain ini.
Jadi, gaji kita jauh lebih tinggi, sewa kita jauh lebih tinggi, dan kos secara amnya lebih tinggi berbanding negara-negara ini, dan kos pematuhan di Singapura - termasuk pematuhan alam sekitar, yang kami pandang serius - jauh lebih tinggi. Dan semua ini dikenakan ke atas sektor swasta.
Sebagai alternatif, sudah tentu, Pemerintah boleh membayar bagi cuti ibu bapa, tetapi ia akhirnya perlu dibayar oleh pembayar cukai, yang bermakna kita perlu mempunyai ekonomi baik untuk meningkatkan pendapatan yang mencukupi untuk membayar semua yang kita mahu, dalam konteks masyarakat yang semakin menua.
Dan anda tahu, kita tidak mempunyai sembarang sumber yang boleh dikeluarkan dari tanah untuk membayar perkara seperti ini, tidak seperti, katakan beberapa negara Nordik.
Negara Nordik mempunyai sumber, dan cukai mereka jauh lebih tinggi - cukai pendapatan peribadi serta GST jauh lebih tinggi.
Perbelanjaan awam perlu datang daripada pertumbuhan ekonomi.
Adakah kita mempunyai ruang untuk menaikkan cukai? Ini adalah beberapa cabaran yang sering dihadapi Pemerintah. Setiap kali kita menangani bukan satu isu tertentu sahaja, tetapi pelbagai sektor, kita boleh berbelanja lebih, dan persoalannya ialah bagaimana kita mendapatkan wang itu dan memastikan ia mampan? Baik penjagaan kesihatan, pertahanan atau keselamatan, kos meningkat di mana-mana. Bolehkah kita meningkatkan cukai daripada cukai pendapatan peribadi, iaitu pada 22 peratus?
Persaingan kita ialah Hong Kong - kita 22 peratus, dan Hong Kong 15 peratus. Ada pelabur sanggup membayar premium untuk menubuhkan syarikat di Singapura. Tetapi apakah premium yang sanggup dibayar, memandangkan kita tidak mempunyai kawasan pedalaman seperti yang Hong Kong ada?
Jadi, ada pertimbangan lebih luas yang perlu diambil kira, sedang kita melihat apa yang kita boleh buat dan apa yang boleh kita kenakan ke atas sektor swasta dan apa yang boleh kita bayar melalui wang cukai.
Tetapi di sebalik cabaran, kita telah bergerak, dan kita telah memperkenal Piawaian Tiga Pihak untuk menggalak amalan progresif di tempat kerja, termasuk aturan kerja fleksibel, cuti tanpa gaji untuk keperluan penjagaan tidak dijangka, dan keharmonian kehidupan-kerja.
Sebahagian daripada isu sebenar ialah jika semuanya dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilakukan oleh wanita, maka kita akan sentiasa menghadapi isu ini. Ia mesti menjadi kedua-dua persamaan dalam keluarga.
Pada Februari tahun ini, MOM (Kementerian Tenaga Manusia), NTUC, dan SNEF (Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura) membentuk Alliance for Action atau AfA mengenai keharmonian kerja-kehidupan. AfA bertujuan membina masyarakat untuk mempromosikan kepentingan keharmonian kehidupan-kerja, dan membangunkan inisiatif asas bagi menyokong pelaksanaan langkah harmoni kehidupan-kerja.
Ini adalah langkah penting untuk menggalak amalan prograsif di tempat kerja. Jika kita boleh menggalak dan bukan memberi arahan, ia lebih mudah. Kita akan terus melakukan lebih banyak lagi.
MENYERTAKAN 'KESAKSAMAAN ANTARA LELAKI DAN WANITA' DALAM PERLEMBAGAAN
Kedua, satu lagi topik utama yang disentuh ialah mengenai Perlembagaan - meletakkan klausa kesaksamaan. Saya telah bangkitkan perkara ini dalam satu forum dan saya menyokongnya.
Terdapat dua pandangan mengenai perkara ini. Pandangan saya bukan pandangan majoriti.
Ramai berpandangan Perlembagaan telah memperuntukkan kesaksamaan, tidak perlu peruntukan khusus bagi kesaksamaan lelaki dan wanita kerana ia sudah menyediakan kesaksamaan. Jadi, haruskah anda bahagikan kesaksamaan antara lelaki dan wanita? Kemudian anda perlu mempunyai senarai 15 perkara lain yang perlu anda hitung. Sesiapa yang tidak termasuk dalam golongannya akan mahu dia disertakan juga. Ia kemudian tidak seperti Perlembagaan. Diskriminasi berdasarkan jantina, jika tidak rasional, menjadi bukan perlembagaan. Sebarang perbezaan mesti rasional, dan memenuhi Perkara 12.
Tetapi saya fikir ada faedah dalam sesuatu yang berunsur aspirasi, kerana ia lebih memberi penekanan. Tetapi dari segi undang-undang, ia tidak menambah banyak atau apa-apa kepada perlindungan yang sama.
Saya dapat melihat kekuatan dalam sudut pandangan alternatif. Tetapi perkara utama ialah, tidak kira pandangan mana yang diambil, perlindungan saksama untuk wanita sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan kita. Sebarang diskriminasi yang tiada asas rasional, tidak akan dapat tegak dalam Mahkamah kita.
Sebelum membuat perundangan, setiap perundangan diteliti lebih dahulu, bukan oleh kementerian saya sahaja, malah oleh AGC (Pejabat Peguam Negara), supaya mematuhi Perlembagaan.
PERKHIDMATAN NEGARA
Ketiga, mengenai Perkhidmatan Negara (NS) - menuntut wanita berkhidmat dalam NS, dan memperluaskan skop NS melangkau ketenteraan merangkumi khidmat masyarakat, sosial dan penjagaan kesihatan.
Di sini ada pandangan kukuh dan perbezaan pendapat.
Pandangan saya, wanita yang ingin melakukannya boleh menyertai SAF atau Pasukan Polis (Home Team), dan kami galakkan wanita menyertai Pasukan Polis. Saya masukkan di Facebook saya, sebahagian mereka (pegawai polis wanita) mengangkat senapang lebih besar daripada mereka, dan sangat berkesan. Mereka boleh menyertai Kor Sukarelawan juga, dan ada banyak peluang bagi kerja sukarela dalam sektor sosial.
KESIMPULAN
Saya berterima kasih kepada semua yang telah menyumbang masa dan tenaga memperjuangkan Wanita Singapura.
Pemerintah sedang meneliti idea pandangan daripada perbincangan mengenai pembangunan Wanita Singapura dengan teliti.
Mari kita sama-sama menjadikan nilai asas kesaksamaan dan rasa hormat antara lelaki dan wanita satu realiti hidup di Singapura.
PANDANGAN SHANMUGAM MENGENAI....
CUTI IBU BAPA
Pemerintah mungkin memperkenal undang-undang untuk menyamakan atau meningkatkan cuti ibu bapa yang diberi syarikat. Tetapi, apabila kita membicarakannya, saya juga akan meminta kita ingat bahawa akhirnya, sektor swasta yang menyediakan kebanyakan pekerjaan di Singapura, seperti di kebanyakan negara lain. Dan ada had pada apa yang boleh Pemerintah minta pihak swasta lakukan. Apa yang boleh kita minta bergantung pada keadaan ekonomi kita, jadi apabila kita bandingkan dengan negara lain, kita perlu lihat apakah sistem itu boleh disesuaikan di Singapura.
KESAKSAMAAN ANTARA LELAKI DAN WANITA DALAM PERLEMBAGAAN
Saya dapat lihat kekuatan dalam sudut pandangan alternatif. Tetapi perkara utama ialah, tidak kira pandangan mana yang diambil, perlindungan saksama untuk wanita sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan kita. Sebarang diskriminasi yang tiada asas rasional, tidak akan dapat tegak dalam Mahkamah kita. Sebelum membuat perundangan, setiap perundangan diteliti lebih dahulu, bukan oleh kementerian saya sahaja, malah oleh AGC (Pejabat Peguam Negara), supaya mematuhi Perlembagaan.
TUNTUTAN SERTAKAN WANITA DALAM PERKHIDMATAN NEGARA (NS)
Pandangan saya, wanita yang ingin melakukannya boleh menyertai SAF atau Pasukan Polis (Home Team), dan kami galakkan wanita menyertai Pasukan Polis. Saya masukkan di Facebook saya, sebahagian mereka (pegawai polis wanita) mengangkat senapang lebih besar daripada mereka, dan sangat berkesan. Mereka boleh menyertai Kor Sukarelawan juga, dan ada banyak peluang bagi kerja sukarela dalam sektor sosial.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg