Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam sangkal beri maklumat mengenai bekas pemandu Leon Perera

Jul 20, 2023 | 3:33 PM
NAFI DAKWAAN: Menteri (Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik K. Shanmugam, menyangkal cadangan dalam artikel bahawa beliau memberi maklumat tentang bekas pemandu mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera, kepada gerbang berita, AsiaOne.
NAFI DAKWAAN: Menteri (Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik K. Shanmugam, menyangkal cadangan dalam artikel bahawa beliau memberi maklumat tentang bekas pemandu mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera, kepada gerbang berita, AsiaOne. - Foto fail

Menteri (Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik K. Shanmugam, berkata adalah “salah” untuk menyatakan beliau telah memberi maklumat kepada sebuah saluran media mengenai bekas pemandu mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera.

Saluran media berpangkalan di Taiwan, The Online Citizen Asia (TOC), menyiarkan artikel pada Rabu yang mempersoalkan bagaimana gerbang berita, AsiaOne, dapat menghubungi bekas pemandu tersebut dengan cepat.

AsiaOne menerbitkan artikel diiringi video temu bual pada Selasa, kurang sehari selepas klip video yang tular dalam talian menunjukkan Encik Perera berkongsi detik intim dengan Cik Nicole Seah, yang kini mantan anggota kanan WP.

Video tular itu menyebabkan Encik Perera dan Cik Seah meletak jawatan.

Hubungan sulit mereka disyaki bermula selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2020.

Dalam video temu bual dengan AsiaOne, bekas pemandu Encik Perera mendedahkan beberapa butiran tentang hubungan sulit Encik Perera dan Cik Seah.

Dalam artikelnya, TOC berkata ia menemui satu kemungkinan yang boleh menjelaskan bagaimana AsiaOne dapat mengeluarkan artikel dan videonya dengan segera.

TOC mendakwa seorang kakitangan AsiaOne, Encik Edmund Chua, telah berhubungan dengan bekas pemandu Encik Perera selama lebih setahun.

Encik Chua pernah bekerja dalam Pejabat Perdana Menteri hampir lima tahun dan pernah bekerja sebagai seorang penganalisis data untuk “Pertubuhan Akar Umbi Chong Pang” yang diketuai Encik Shanmugam.

Artikel TOC menambah bahawa Encik Shanmugam telah mengunjungi pejabat baru AsiaOne beberapa hari sebelum video temu bual itu disiarkan di media sosial.

Menyangkal, Encik Shanmugam berkata artikel TOC “berhubungnya adalah palsu” dalam sebuah catatan Facebook pada Rabu 9.06 malam.

“Pertama sekali, terdapat cadangan bahawa seorang pekerja AsiaOne, Edmund Chua, pernah bekerja di kawasan undi saya. Itu betul. Sindirannya ialah saya memberitahu Edmund untuk menghubungi bekas pemandu Encik Perera, dan itulah cara AsiaOne berjaya mendapatkan beliau.

“Ini adalah palsu. Saya tidak kenal bekas pemandu itu, saya tidak mempunyai nombor telefon atau namanya, dan saya tidak memberitahu atau memberikan sebarang maklumat mengenai bekas pemandu itu kepada sesiapa termasuk AsiaOne – saya tidak mempunyai maklumat sedemikian. Dan saya tidak berurusan atau bercakap dengan Edmund Chua mengenai perkara ini,” katanya.

Encik Shanmugam juga berkata lawatannya ke pejabat AsiaOne tidak dibuat “beberapa hari sebelum video itu muncul” dan beliau tidak berada di Singapura sehingga Isnin malam.

“Saya melawat AsiaOne pada 13 Jun, untuk bertemu dengan wartawannya. Saya juga melawat Mothership, dalam tempoh yang sama, pada 22 Jun. Ini adalah sebahagian daripada usaha saya untuk mendekati sebahagian masyarakat secara tetap, termasuk institusi awam dan swasta, sekolah, institut pengajian tinggi, wartawan dari media utama dan dalam talian dan sebagainya.

“TOC terus menerbitkan rencana secara melulu, tanpa mengambil kira kebenaran,” tambah Encik Shanmugam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg