Singapura menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Indonesia untuk menangani isu jerebu, sepertimana yang telah dibentangkan oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Ini termasuk melantik pemimpin baru bagi mengetuai agensi bencana kebangsaan yang juga bertanggungjawab ke atas usaha melawan kebakaran, dan memberikan arahan yang melarang amalan pembakaran dan penebangan di kawasan tanah gambut, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Di samping itu, Encik Prabowo juga mahu mengutamakan pencegahan kebakaran sebagai penyelesaian jangka panjang, tambah beliau.

Encik Shanmugam berkata demikian ketika ditemui media selepas mengunjungi pegawai barisan hadapan Home Team di Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi mengagihkan pek penjagaan pada 19 Oktober.

Lawatan itu turut disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Namun pada masa yang sama, Encik Shanmugam berkata, Singapura kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh pegawai Indonesia, yang menyatakan oksigen Singapura datang dari hutan Indonesia, terutama tatkala rantau ini mengalami kesan akibat jerebu.

“Dalam konteks ini, amat mengecewakan apabila seorang pegawai Indonesia baru-baru ini menyatakan bahawa oksigen Singapura berasal daripada hutan (mereka).

“Sejujurnya, tidak wajar untuk berkata sedemikian apabila seluruh rantau ini menderita akibat sikap buruk syarikat yang melanggar peraturan di Indonesia, dan pihak yang paling terjejas adalah rakyat Indonesia sendiri,” kata beliau.

Ini merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh ketua Agensi Komunikasi Pemerintah Indonesia, Encik Syahganda Nainggolan, ketika ditemui media Indonesia pada 11 Oktober.

Encik Syahganda menyifatkan hutan Indonesia sebagai pembekal oksigen kepada Singapura dan Malaysia ketika jerebu tiada, sambil berkata bahawa kebakaran hutan dan jerebu yang berlaku adalah angkara semula jadi dan bukan kesilapan manusia.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata:

“Saya tidak berpendapat bahawa pandangan pegawai Indonesia itu dikongsi oleh ramai pihak lain dalam pemerintah Indonesia mahupun orang ramai secara umumnya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh reaksi (orang ramai) terhadap kenyataannya.

“Kita tidak seharusnya terpaksa menanggung keadaan ini – iaitu jerebu akibat daripada kegiatan pembakaran. Perkara ini sebenarnya boleh dicegah sepenuhnya.”

Menurutnya, beberapa langkah yang diambil Encik Prabowo “belum pernah diambil sebelum ini”, sekali gus menunjukkan pendekatan dan pemikiran pemimpin negara itu dan pentadbirannya dalam menangani jerebu.

Antaranya termasuk pemecatan bekas ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Suharyanto, pada 15 Oktober, sehari selepas adik lelakinya ditangkap atas dakwaan rasuah yang melibatkan dana bantuan kecemasan.

Singapura juga mengalu-alukan langkah Encik Prabowo untuk menerima bantuan negara asing dalam melawan kebakaran, tambah Encik Shanmugam.

Berhubung keputusan Singapura untuk mengambil tindakan undang-undang dan kawal selia terhadap syarikat yang menyebabkan kebakaran dan jerebu, beliau berkata pendekatan ini selaras dengan dasar luas seperti yang diumumkan pentadbiran Encik Prabowo.

“Kami berharap untuk mendapatkan kerjasama penuh daripada (pemerintah) Indonesia untuk membawa syarikat terbabit ke muka pengadilan.

“Kami juga telah menawarkan kerjasama penuh untuk membantu melawan kebakaran, sekiranya bantuan kami diperlukan,” kata beliau.

Lantaran itu, beliau tidak beranggapan bahawa wujud sebarang isu dua hala antara Singapura dengan Indonesia, memandangkan ia adalah dalam kepentingan Indonesia, sepertimana ia juga adalah dalam kepentingan negara ini untuk memastikan agar syarikat yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.

Sementara itu, mengulas tentang lawatannya ke Pusat Pemeriksaan Woodlands, Encik Shanmugam berkata kunjungan itu sebahagian daripada usaha menteri di Kementerian Dalam Negeri (MHA) untuk memberikan sokongan dan tanda penghargaan kepada pegawai barisan hadapan.

Meskipun perlu menjalankan tugas dalam keadaan yang mencabar di tengah-tengah jerebu yang melanda, beliau berkata semangat pegawai sedemikian kekal tinggi dan MHA akan terus memberikan sokongan kepada mereka.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti