Singapura akan menggunakan “setiap instrumen perundangan dan kawal selia yang tersedia” agar syarikat terkait menyebabkan jerebu serantau dipertanggungjawabkan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam.

Ini sedang negara mengeluarkan Notis Langkah Pencegahan (PMN) kepada tiga lagi syarikat di Indonesia bagi kebakaran yang berlaku di Kalimantan.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah syarikat yang diberi notis tersebut kepada 10.

Bercakap kepada media di Pusat Pemeriksaan Woodlands selepas menyampaikan pek penjagaan kepada pegawai barisan hadapan pada 19 Oktober, Encik Shanmugam berkata pemerintah sedang mempertimbangkan langkah-langkah perundangan, kawal selia dan ekonomi.

Ini termasuk meminda perundangan sedia ada dengan segera atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi memastikan syarikat-syarikat, sama ada yang berpangkalan di Singapura atau di tempat lain, memikul tanggungjawab atas kebakaran tersebut serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata: “Ada kalanya, sesetengah syarikat mungkin cuba menafikan tanggungjawab.

“Mereka mungkin beranggapan bahawa sukar mendapatkan bukti, dan mereka boleh terlepas daripada pengawasan, namun mereka tidak sepatutnya memandang remeh tekad pemerintah Singapura untuk mengambil tindakan.

“Sekiranya syarikat enggan bekerjasama… kami akan menggunakan segala instrumen undang-undang dan kawal selia yang ada pada kami untuk memberikan tekanan di mana ia memberi kesan ketara, termasuk (memberi tekanan) terhadap keuntungan, akses pembiayaan dan kedudukan mereka dalam kalangan pelabur.”

Dalam satu hantaran Facebook pada 19 Oktober, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut menekankan hal yang serupa.

Beliau berkata: “Kita akan menggunakan segala saluran undang-undang dan kawal selia yang sedia ada, serta menggunakan setiap instrumen yang ada untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan, dan memberikan tekanan di mana ia memberi kesan.”

Encik Shanmugam berada di Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk meninjau kemaslahatan dan mengagihkan pek penjagaan kepada pegawai barisan hadapan yang bertugas.

Beliau disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Menurut Encik Shanmugam, lawatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha menteri di Kementerian Dalam Negeri (MHA) untuk memberi sokongan dan tanda penghargaan kepada pegawai barisan hadapan.

Awal daripada itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, mengunjungi Pusat Pemeriksaan Tuas pada hujung minggu.

Dalam satu hantaran Facebook pada 19 Oktober, Encik Zhulkarnain memuji daya ketahanan pegawai barisan hadapan bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat.

Sehubungan itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengeluarkan PMN di bawah Seksyen 9 Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) Singapura kepada tiga lagi syarikat di Indonesia.

Dalam satu kenyataan NEA pada 19 Oktober, notis itu dikeluarkan kepada PT Buana Megatama Jaya, PT Mananjung Hayak dan PT Baratama Putra Perkasa.

Notis itu memerlukan syarikat yang berkaitan menghentikan kegiatan pembakaran di tanah milik mereka di Indonesia dan mengemukakan rancangan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Cik Fu berkata: “Kami komited untuk siasat ke atas semua syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas negara di Singapura.

“Kami tidak teragak-agak untuk ambil tindakan lanjut di bawah THPA, berdasarkan maklumat dan bukti yang tersedia.”

Hal ini turut ditekankan Cik Rahayu, yang berkata Singapura mungkin tidak mampu mengawal keadaan cuaca atau memadam kebakaran hutan di negara lain.

Namun, Singapura boleh mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat, katanya.

“Jika perbuatan mereka menyebabkan atau menyumbang kepada kebakaran hutan dan juga jerebu yang kita hadapi, mereka mesti bertanggungjawab dan akan menanggung akibatnya,” ujar beliau.

Dalam sidang media pada 16 Oktober, Cik Fu mengumumkan tujuh syarikat yang telah dikenakan notis itu, dengan tiga daripada firma tersebut pernah menerima notis serupa semasa krisis jerebu pada 2015.

Kes-kes tersebut masih belum ditutup.

Sementara itu, Encik Shanmugam berkata Singapura menghargai usaha yang telah diambil Indonesia untuk menangani jerebu, seperti mana yang telah diumumkan oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Presiden Prabowo, kata Encik Shanmugam, komited secara peribadi untuk mengatasi jerebu dan meletakkan arahan untuk melarang kegiatan tebas dan bakar di kawasan tanah gambut.

Namun, Singapura melahirkan rasa kecewa berhubung tuntutan yang dibuat pegawai Indonesia bahawa oksigen datang dari negara itu, merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh ketua Agensi Komunikasi Pemerintah Indonesia, Encik Syahganda Nainggolan, pada 11 Oktober.

Beliau turut mengumumkan bahawa Bursa Saham SGX, telah mengemukakan soalan kepada tujuh syarikat pertanian yang disenaraikan di sini berhubung operasi dan jika ada kaitan dengan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Tujuh syarikat itu ialah Golden-Agri Resources, Bumitama Agri, First Resources, Wilmar, Kencana Agri, Indofood Agri dan TSH Resources.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti