Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam ziarah keluarga pasangan maut dalam nahas Tampines
Shanmugam ziarah keluarga pasangan maut dalam nahas Tampines
Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, telah menziarahi keluarga mangsa nahas jalan raya di Tampines yang meragut nyawa sepasang suami isteri, termasuk si isteri yang sedang hamil, dan meninggalkan anak lelaki mereka yang berusia enam tahun.
Dalam satu hantaran Facebook pada 18 November, Encik Shanmugam berkata beliau mengunjungi keluarga tersebut baru-baru ini bersama sukarelawan cawangannya serta kakitangan daripada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).
Menurut beliau, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, serta pasukan daripada beberapa badan Melayu/Islam dan cawangannya juga telah mengunjungi keluarga itu dan menghulurkan bantuan.
“Kami berbincang tentang beberapa perkara praktikal dan langkah seterusnya. Para sukarelawan akan terus bekerjasama dengan keluarga tersebut,” katanya.
Encik Shanmugam, yang juga AP GRC Nee Soon, turut mendedahkan bahawa anak lelaki pasangan itu tinggal di Chong Pang dan bersekolah di kawasan tersebut.
Beliau tidak memperincikan bentuk bantuan yang dibincangkan semasa kunjungan itu, namun menyatakan bahawa sukarelawan akan terus bekerjasama dengan keluarga berkenaan bagi membantu mereka mengharungi keadaan selepas kehilangan pasangan tersebut.
Pasangan berkenaan, kedua-duanya berusia 24 tahun, maut dalam kemalangan yang melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal di Tampines Avenue 12 pada malam 29 Oktober.
Si isteri sedang mengandung anak kedua mereka ketika nahas berlaku. Pasangan itu dilaporkan dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Kemalangan tersebut turut mencetuskan siasatan polis selepas pemandu kereta Audi yang terlibat dan penumpang wanitanya meninggalkan tempat kejadian.
Kedua-duanya, masing-masing berusia 30 dan 29 tahun, kemudian diberkas polis pada 30 Oktober di sekitar West Coast Road.
Pemandu kereta itu berdepan beberapa tuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu ketika hilang kelayakan serta gagal berhenti dan memberikan bantuan selepas kemalangan.