HAK kedua-dua majikan dan pekerja mesti dilindungi sedang Singapura bergerak menuju ke arah norma kerja baru di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini, kata Anggota Parlimen Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).
"Bekerja dari rumah dan bekerja dari tempat kerja mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri. Kami mendapati garis antara kerja dan rumah kian semakin kabur.
"Dengan mempertimbangkan norma kerja baru ini, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) perlu memastikan bahawa hak kedua-dua majikan dan pekerja dapat dilindungi," kata Encik Sharael di Parlimen semalam.
Justeru, terdapat keperluan untuk mencari keseimbangan antara bekerja dari rumah dan bekerja dari tempat kerja menurut beliau lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa Singapura perlu kekal menjadi tempat yang menarik untuk bekerja, selain mengekalkan bakat di negara ini.
Menurutnya, amalan di tempat kerja yang adil dan keseimbangan kehidupan kerja yang baik akan memberi negara ini kelebihan dalam menempuhi norma kerja baru ini.
"Sedang kita berbahas secara meluas mengenai kuota tenaga kerja asing, kita tidak seharusnya membiarkan perkara ini mengalihkan tumpuan kita dari soalan asas, iaitu bagaimana kita mengekalkan daya saing tenaga kerja kita dalam pasaran sedunia.
"Kita tidak lagi boleh duduk berdiam diri dan cuba melindungi pekerjaan kita dengan cara yang sebelum ini berkesan bagi tujuan tersebut.
"Sebaliknya, kita perlu menonjol dan menunjukkan kepada dunia bagaimana kita memberikan nilai terbaik kepada sebarang pertubuhan di serata dunia," ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg