AKIBAT pandemik Covid-19, bukan hanya anak-anak yang belajar di rumah, namun pasangan ibu bapa ini turut menyertai kelas matematik dalam talian untuk sama-sama membantu anak-anak mereka.
Encik Ednend Abdul Fatah merupakan antara ibu bapa yang telah menyertai KelasMateMatika@CC dalam talian, atau eKMM@CC, selama empat minggu pada Oktober lalu bersama isteri dan tiga anak kembar mereka - Ain Marissa, Ain Mahira dan Ain Madina - yang berusia enam tahun.
"Kelas dalam talian menawarkan kemudahan bagi keluarga saya kerana kita boleh belajar dalam suasana selesa di rumah kami.
"Kemahiran dan tip keibubapaan yang diajar dalam kelas juga telah mempertingkat keyakinan saya dalam menyokong dan menjadi pengantara dalam pembelajaran anak-anak saya dan malah, saya menggunakan kemahiran itu untuk membantu anak perempuan sulung saya yang dalam sekolah menengah," kata beliau.
Buat julung-julung kalinya, majlis penyampaian sijil KMM@CC diadakan dalam talian baru-baru ini, dengan 187 sijil diberikan kepada keluarga yang selesai menjalani program itu.
KMM@CC, yang dirintis pada 2018 di bawah rangkaian M3 merangkumi Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), melengkapi ibu bapa dengan kemahiran untuk membantu dalam pembelajaran anak-anak mereka dalam konsep celik angka asas.
Dek pandemik Covid-19 tahun ini, Mendaki memperkenalkan eKMM@CC pada Ogos lalu supaya program itu boleh terus disertai masyarakat dalam talian.
Kelas dalam talian yang dijalankan melalui Zoom itu melengkapi sesi KMM@CC fizikal yang diadakan secara terhad dalam Fasa Kedua pembukaan semula negara ini.
Secara keseluruhannya, sebanyak 15 kelas fizikal dan sembilan kelas dalam talian diadakan tahun ini dan disertai 790 ibu bapa dan anak-anak mereka.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam ucapannya di majlis penyampaian sijil KMM@CC itu menekankan peranan penting yang dimainkan ibu bapa sebagai guru, pengasuh dan rakan pertama anak mereka dalam pembelajaran dan pembangunan.
"KMM@CC merupakan salah satu inisiatif yang dijalankan Mendaki dan M3 untuk menyokong dan memperkasa ibu bapa. Sedang kita bergerak ke arah ekonomi yang dipacu teknologi dan berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) secara berperingkat, adalah penting bagi anak-anak kita mempunyai asas kukuh dalam Matematik untuk mempersiapkan mereka bagi fasa seterusnya dalam pembelajaran mereka," kata beliau.
Laporan lanjut:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg