Impian untuk memiliki kedai pastri dan ruang masyarakat untuk melukis merupakan dua pendorong utama Cik Nasuha Salamat, 17 tahun.
Buat masa ini, beliau – yang menjual kek dengan rekaan vintaj menjalankan perniagaan dalam talian, caketastrophicsg di TikTok.
Cik Nasuha kini mungkin lebih layak bergelar pempengaruh, atau influencer, selepas menarik lebih 21,000 pengikut atau ‘followers’ di TikTok.
Semasa ditemui Berita Harian (BH), Cik Nasuha melahirkan azam menambah jumlah pengikut yang kukuh untuk menyokong kedai pastri yang ingin dimulakannya pada masa depan.
“Bagi saya, dalam dunia media sosial ini, apa yang saya mahu adalah membina pengikut.
“Apabila saya sudah ada pengikut, impian saya untuk membuka kedai akan menjadi lebih mudah kerana saya sudah ada pelanggan yang akan menyokong saya,” katanya.
Minat Cik Nasuha menceburi bidang itu tercetus sejak beliau menyertai kelab keusahawanan di Sekolah Menengah Mayflower sebagai kegiatan kokurikulum (CCA).
Sebagai anggota kelab keusahawanan itu, beliau memperoleh kemahiran dan keyakinan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian.
Beliau, yang kini merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Pengajian Perniagaan di Politeknik Ngee Ann, memilih untuk menjual kek dengan estetika vintaj di dalam kotak bento, yang dekat di hatinya.
“Saya tidak mahu bersaing dengan orang lain yang membuat kandungan melukis secara dalam talian, jadi saya gabungkan estetika vintaj dengan kek bento – konsep yang saya belum pernah lihat di Singapura sebelum ini,” jelasnya.
Buat masa ini, beliau menjual kek pada harga $15, dengan kebanyakan pelanggannya merupakan golongan remaja yang mempunyai peruntukan wang yang terhad.
Matlamatnya adalah untuk mengekalkan harga yang mampu milik.
“Itu sangat penting bagi saya. Saya mahu membuat orang gembira, dan saya percaya jika kek saya bermutu tetapi masih mampu milik, orang akan hargainya dan akan terus menyokong saya,” katanya..
Melalui penjualan kek, Cik Nasuha meraih pendapatan kira-kira $2,000 sebulan.
Apabila peluang tiba untuk bekerjasama dengan pelanggan – seperti yang dilakukannya bersama jenama keju, Perfect Italiano, baru-baru ini – beliau boleh menambah pendapatan yang diterimanya.
Namun perjalanannya dalam dunia perniagaan berliku-liku, terutama pada permulaannya.
Video pertamanya hanya mendapat 10 tanda suka atau ‘likes’, tetapi Cik Nasuha tidak berputus asa dan terus memuat naik video untuk perlahan-lahan membina pengikut.
Apabila jumlah pengikut tidak bertambah, beliau menukar kandungannya kepada segmen kandungan memasak, Cooking with Nasuha, di TikTok.
Sepanjang masa itu, beliau tetap berpegang pada nilainya, yang tidak mementingkan perkara duniawi.
Perubahan itu membuahkan hasil dan beliau memperoleh lebih 12,000 pengikut daripada siri itu sahaja, yang juga membawa kepada kerjasama jenama.
Walaupun menguruskan perniagaan yang semakin berkembang dan kehadiran media sosialnya, Cik Nasuha tetap mengutamakan pelajaran.
“Saya mahu belajar segala-galanya tentang menguruskan perniagaan dan guna ilmu itu untuk jenama kek saya,” katanya.
“Jika ada apa-apa yang berlaku, keutamaan saya adalah – pertama, pelajaran saya; kedua, kandungan media sosial saya seperti merakam video atau sebagainya; dan ketiga, perniagaan kek saya kerana ia lebih fleksibel.”
Beliau kini juga lebih matang dan dapat menguruskan kesan komen negatif di dalam talian.
Cik Nasuha mengakui ia kadangkala memberi kesan, tetapi lebih suka menumpukan perhatian pada matlamatnya.
“Pada mulanya, saya takut... kerana dinilai netizen, tetapi saya sedar saya tidak boleh biarkan itu menghalang saya. Sekarang, saya hanya abaikan perkara negatif.”
Pada masa depan, Cik Nasuha menaruh harapan agar dapat memulakan sebuah kafe kek yang selesa digabungkan dengan ruang seni masyarakat di mana orang boleh berkumpul dan melukis.
“Impian saya adalah untuk mewujudkan tempat yang santai dan mesra di mana orang boleh menikmati kek yang sedap dan mengeratkan hubungan melalui seni.
“Sama ada saya dapat capai atau tidak... saya akan terus berusaha,” katanya.
“
Saya mahu belajar segala-galanya tentang menguruskan perniagaan dan guna ilmu itu untuk jenama kek saya. Jika ada apa-apa yang berlaku, keutamaan saya adalah – pertama, pelajaran saya; kedua, kandungan media sosial saya seperti merakam video atau sebagainya; dan ketiga, perniagaan kek saya kerana ia lebih fleksibel.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg