SYARIKAT penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) telah menandatangani memorandum persefahaman pada Khamis (20 Ogos) untuk bekerjasama dalam menyediakan latihan bagi karyawan penjagaan kesihatan di hospital tersebut. Mulai September, SIA akan memulakan latihan khidmat pelanggan bagi Pegawai Penjagaan Pesakit (PCO) baru di KTPH - sebuah peranan yang diilhamkan oleh program Duta Penjagaan yang KTPH dan SIA lancarkan bersama April lalu. PCO bekerjasama dengan doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan bersekutu untuk menyediakan khidmat penjagaan, pengasuhan dan penyelarasan penjagaan dari awal ke akhir bagi pesakit di wad. SIA akan membangunkan program itu dengan kerjasama KTPH dan menyesuaikannya mengikut keperluan hospital tersebut. Jurulatih kru SIA akan menjalankan kursus tiga hari yang akan membentuk sebahagian daripada kurikulum latihan 20 hari bagi PCO. Dalam masa tiga hari itu, mereka akan menerima latihan dalam komunikasi dan pengendalian pelanggan yang berkesan, dan belajar cara mencontohi nilai seperti empati dan kemesraan. Ini kali pertama SIA melanjutkan khidmat latihan dan pembangunannya di luar pertubuhan itu.