Topic followed successfully
Go to BHkuSIA lanjut taja F1 tiga tahun lagi
SIA lanjut taja F1 tiga tahun lagi
SIA lanjut taja F1 tiga tahun lagi
SYARIKAT Singapore Airlines (SIA) akan terus menjadi penaja utama kejohanan Formula Satu Grand Prix Singapura untuk tiga tahun lagi, umum syarikat penerbangan itu semalam.
Perjanjian baru akan bermula dengan perlumbaan tahun ini, yang akan berlangsung pada 2 Oktober setelah dua tahun ditiadakan disebabkan pandemik.
SIA pertama kali memeterai perjanjian untuk menjadi penaja utama pada 2014 selama empat tahun, dan kemudian melanjutkannya pada 2018 dan 2020, masing-masing selama dua tahun.
Lanjutan itu diumumkan naib presiden eksekutif komersial SIA, Encik Lee Lik Hsin, dan pengarah urusan komersial F1, Encik Brandon Snow.
Encik Lee yang ditukil akhbar The Straits Times berkata:
"Formula Satu Grand Prix Singapura amat dinanti-nantikan tahun ini dan akan menjadi peristiwa penting bagi Singapura, petanda kembalinya acara sukan antarabangsa besar ke bandar ini setelah gangguan selama dua tahun disebabkan pandemik."
"Perlumbaan ini akan disambut meriah oleh penduduk Singapura dan pengunjung, dan akan mempertingkat reputasi Singapura sebagai bandar global.
"Lanjutan SIA sebagai penaja utama petanda sokongan berterusan SIA terhadap kedua-dua pelancongan dan sukan, melengkapkan perkembangan rangkaian global kami, dan akan menyokong pemulihan Singapura sebagai hab udara antarabangsa utama."
Encik Snow menambah bahawa beliau berbesar hati Singapore Airlines akan terus menjadi penaja utama Grand Prix Singapura bagi tiga tahun lagi.
Grand Prix Singapura merupakan perlumbaan malam F1 yang asal, acara Formula Satu ikonik yang digemari peminat dan pemandu, dan ia kembali setelah dua tahun ditiadakan, katanya.
Beliau berkata bahawa perlumbaan tahun ini akan menyaksikan penggunaan lanjut bahan mampan dan tenaga boleh diperbaharui.
Komitmen Singapore Airlines terhadap bahan api penerbangan mampan menunjukkan usaha bersama semua rakan dan Formula Satu dalam mengurangkan kesan terhadap sekitaran, tambahnya.

