Topik diikuti
Pergi ke BHkuSIA tambah penerbangan ke Amsterdam susulan lonjakan permintaan Asia-Eropah
SIA tambah penerbangan ke Amsterdam susulan lonjakan permintaan Asia-Eropah
SIA tambah penerbangan ke Amsterdam susulan lonjakan permintaan Asia-Eropah
Singapore Airlines (SIA) bakal menambah kekerapan penerbangan Singapura-Amsterdam kepada 10 perkhidmatan seminggu, berbanding perkhidmatan harian sedia ada.
Kekerapan baharu ini akan berkuat kuasa antara 1 Ogos dengan 22 Oktober, sebagai tindak balas kepada lonjakan permintaan untuk perjalanan antara Asia-Pasifik dengan Eropah, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu pada 25 Mei.
Penerbangan tambahan itu, SQ334, akan berlepas dari Singapura ke Amsterdam setiap Selasa, Khamis, dan Sabtu, pada 11.10 pagi. Penerbangan pulang (SQ333) pula dijadualkan berlepas dari Amsterdam pada hari yang sama, pada 8.35 malam waktu tempatan.
Encik Dai Haoyu, Naib Presiden Kanan Perancangan Pemasaran SIA, menegaskan bahawa Amsterdam adalah “nadi penting” dalam rangkaian Eropah syarikat itu.
“Melalui hab Singapura, kami menghubungkan pelancong dari Asia-Pasifik dan seluruh dunia dengan lancar, sekali gus memenuhi permintaan tinggi di laluan ini,” katanya.
Beliau menambah, penambahan kekerapan ini membuktikan “keyakinan terhadap potensi jangka panjang laluan tersebut”, dan SIA akan berusaha melanjutkannya selepas Oktober 2026.
Menurut SIA, semua penerbangan ini akan dikendalikan oleh varian jarak jauh pesawat Airbus A350-900.
Tiket untuk perkhidmatan tambahan Amsterdam telah mula dijual pada 25 Mei melalui semua saluran pengedaran SIA.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan, SIA turut menambah kekerapan ke beberapa bandar utama Eropah lain, termasuk Manchester, Milan, Munich, dan London, selain melancarkan perkhidmatan baharu ke Madrid bermula Oktober.
