Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan dakwaan keguguran: Jagaan klinikal NUH sesuai tapi boleh diperbaiki

Apr 6, 2022 | 5:30 AM
576cc89d-9106-49c5-a20a-a875ea513bc6
-

SIASATAN yang dijalankan selepas seorang wanita mendakwa keguguran bayinya ketika menunggu di jabatan kecemasan Hospital Universiti Nasional (NUH) mendapati proses penjagaan klinikal hospital itu sesuai.

Menyatakan demikian di Parlimen semalam, Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, berkata NUH telah menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan menyemak prosesnya dengan perundingan bersama Kementerian Kesihatan dan pengarah khidmat perubatan.

Tetapi, sedang proses penjagaan klinikal NUH didapati sesuai, ada beberapa bahagian boleh diperbaiki seperti komunikasi dan penyelarasan bagi pemindahan antara jabatan kecemasan dan bilik bersalin. NUH sudah mula melaksana penambahbaikan itu, kata Dr Janil, ketika menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen berkaitan kes yang berlaku sekitar dua minggu lalu itu.

Dalam satu pos Facebook pada 21 Mac, seorang lelaki berkata isterinya yang hamil dimasukkan ke hospital akibat pendarahan, dan doktor kemudian memberitahu mereka wanita itu telah mengalami keguguran. Lelaki itu mendakwa isterinya ditinggalkan tanpa pengawasan sekitar dua jam.

Pada 31 Mac, lelaki itu berkata beliau telah menghadiri beberapa pertemuan bersama NUH dan bahawa "fakta... telah diperjelaskan".

Dr Janil, yang mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut di atas kehilangan mereka, berkata pasangan itu telah mengadakan perbincangan bersama pasukan NUH dan perkara itu telah ditutup.

"Keluarga itu telah memuat naik satu kiriman media sosial baru-baru ini bagi mengakui perkara ini, dan seterusnya mengakui bahawa ibu itu tidak ditinggalkan tanpa pengawasan selama dua jam. Beliau menerima perhatian dan penjagaan daripada pasukan jabatan kecemasan NUH sejak beliau tiba," kata Dr Janil.

"Mereka seterusnya menyatakan bahawa hasil menyedihkan kehamilan itu bukanlah akibat pengalamannya di hospital. Sebagai menghormati permintaan pasangan itu untuk privasi, dan atas sebab kerahsiaan, kami tidak akan membincangkan butiran kes itu," tambahnya.

Dr Janil seterusnya berkata pandemik Covid-19 menyebabkan jabatan kecemasan hospital awam menghadapi permintaan amat tinggi dan pekerja penjagaan kesihatan bekerja secara berterusan bagi menguruskan semua pesakit.

"Semua pesakit akan disaring berdasarkan sejarah, simptom, dan parameter klinikal agar mereka yang mempunyai keadaan mengancam nyawa diutamakan.

"Tiada pesakit akan dinafikan penjagaan," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg