Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan dijalankan remaja ditampar, ditumbuk di ITE Kolej Central

Aug 3, 2024 | 11:05 AM
Pengetua ITE Kolej Central, Encik Suresh Natarajan, berkata institut itu mengetahui video mengenai insiden buli di kampusnya, dan siasatan sedang dijalankan.
Pengetua ITE Kolej Central, Encik Suresh Natarajan, berkata institut itu mengetahui video mengenai insiden buli di kampusnya, dan siasatan sedang dijalankan. - Foto fail

Beberapa kejadian buli melibatkan remaja ditampar, ditumbuk dan ditendang di kampus Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, kini dalam siasatan.

Ini berlaku selepas beberapa video insiden itu muncul di pelbagai platform media sosial pada 2 Ogos.

Dalam video yang disiarkan di Facebook dan dilihat oleh The Straits Times sebelum ia dikeluarkan, seorang remaja lelaki dilihat berlutut di tangga dan dikelilingi oleh sekumpulan kira-kira 10 individu lain.

Budak lelaki itu diminta mencium kasut seorang gadis remaja, dan diturutinya. Kemudian disuruh pula mencuium kaki gadis itu.

Kedengaran juga suara teriakan menyuruh budak lelaki itu menjilat kasut ketika seorang remaja lain tiba-tiba menendang kepalanya.

Seorang lagi remaja kemudian menampar mukanya.

Dalam video lain, seorang remaja lelaki yang memakai baju khaki dilihat berdiri di bahagian bawah tangga, dengan sekumpulan kira-kira 20 pelajar melihatnya dari tangga di atas.

Seorang lagi remaja lelaki yang memakai topi dilihat merakam adegan itu dan mengejek budak lelaki itu, memintanya “mendongak”, melihat kepada orang ramai yang menyaksikan detik itu.

Sekurang-kurangnya dua individu lain turut dilihat merakam adegan itu pada telefon mereka.

Seorang remaja kemudian memberikan dua pukulan ke kepala mangsa, sambil yang lain bersorak.

Dalam video lain, yang kelihatan diambil pada masa yang sama, remaja itu menggunakan objek biru untuk memukul mukanya.

Video itu kemudiannya memaparkan kira-kira lima remaja lain yang turut menyaksikan adegan itu dimainkan.

Dalam video itu, seorang remaja lelaki berpakaian kemeja hitam memberikan sepakan ke mukanya. Mangsa jatuh ke belakang dan terus ke bawah.

Pengetua Kolej ITE Central, Encik Suresh Natarajan berkata institusi itu mengetahui video mengenai insiden buli di kampusnya dan siasatan sedang dijalankan.

Beliau berkata: “Sebagai sebuah institusi pendidikan, kami berusaha untuk menyediakan semua pelajar kami persekitaran yang selamat, penyayang dan menyokong.

“Kolej memandang serius tentang buli dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang didapati melanggar tatakelakuan kami.”

Beliau turut menggesa pelajar melaporkan kejadian seumpama itu kepada pensyarah mereka dengan segera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg