KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah selesai menjalankan semakan siasatan Hospital Universiti Kebangsaan (NUH) berhubung kes membabitkan seorang pesakit hamil yang didakwa ditinggalkan tanpa pengawasan selama dua jam di jabatan kecemasan (ED).

Pada Rabu (27 April), MOH berkata proses dan komunikasi tidak menyumbang kepada keguguran bayi wanita itu, sambil menambah terdapat jurang yang perlu ditangani.

MOH berkata NUH telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu, termasuk menyemak rakaman video dan menemu bual semua kakitangan yang terlibat.

Siasatan dijalankan oleh sepasukan doktor kanan NUH dan jururawat dari ED, jabatan obstetrik dan ginekologi (O&G) dan pasukan hal ehwal tadbir urus klinikal-perubatan.

MOH berkata NUH telah melaksanakan protokol capaian pantas untuk pesakit hamil dengan tanda-tanda kelahiran, selepas ujian di ED, supaya dipindahkan terus ke bilik bersalin agar dapat dinilai oleh doktor O&G, dan bukannya berjumpa doktor ED terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada pesakit perlu dipindahkan.

Walau bagaimanapun, disebabkan bilangan pesakit yang agak tinggi di ED pada malam kejadian, dan dengan bilik bersalin yang penuh, proses pemindahan segera ke bilik bersalin tidak dapat dilakukan seperti biasa.

Ia mengakibatkan pesakit tidak mendapatkan perhatian yang diperlukan tepat pada masanya, kata MOH.

Bagi mengelak kejadian serupa berulang sekali lagi, NUH telah menetapkan beberapa langkah baru.

Antaranya termasuk pesakit yang sedang menunggu untuk dipindahkan ke bilik bersalin akan diuji oleh jururawat ED dan disemak oleh doktor ED yang kemudian akan berhubung dengan doktor O&G.

Pesakit hamil boleh dinilai menggunakan ujian ultrasound di ED jika perlu dan skor penilaian obstetrik standard akan digunakan di ED untuk menguji pesakit hamil.

Susulan semakan oleh doktor O&G, pemantauan jantung janin juga akan dilakukan di ED sementara menunggu katil di bilik bersalin.

MOH menambah, NUH sudah beberapa kali berjumpa pesakit dan suaminya untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Kata MOH: "Pasangan itu telah menerima penjelasan NUH dan mengakui bahawa keguguran mungkin tidak berlaku di hospital.

"NUH juga telah memberi jaminan kepada mereka bahawa hospital sedang menambah baik prosesnya supaya mengelakkan kejadian serupa di masa hadapan.

MOH juga telah berkongsi penemuan siasatan NUH dengan pengurusan kanan semua hospital awam.