Memandangkan Singapura sedang berdepan ancaman yang kian canggih seperti maklumat palsu, ancaman siber dan kecerdasan buatan (AI), wujud keperluan besar bagi Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) untuk mempelbagaikan kumpulan bakatnya serta memperkukuh tugas yang dilaksanakan.

Selain lulusan baharu, agensi perisikan negara itu juga ingin menarik karyawan pertengahan kerjaya yang mampu membawa “perspektif lebih kaya tentang apa yang berlaku di luar sana” bagi meningkatkan kerja perisikan, kata mantan Ketua Staf SID, Encik Kevin Santa Maria.

Bercakap dalam satu wawancara media sempena ulang tahun ke-60 SID pada 2026, Encik Santa Maria menjelaskan bahawa sejak agensi itu melancarkan laman web awam bagi tujuan pengambilan jawatan pada 2021, permohonan pekerjaan telah melonjak 50 peratus.

Peningkatan ini bukan sahaja melibatkan lulusan universiti, malah ramai karyawan pertengahan kerjaya seperti peguam, pakar kewangan dan pengamal media.

“Kepelbagaian bakat yang masuk ke dalam SID ini menjadikan perspektif kami sangat kukuh.

“Kami memerlukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang yang melihat sesuatu perkara secara berbeza,” kata Encik Santa Maria, yang telah berkhidmat dengan SID dari 2002 hingga 2025.

Mula ditubuhkan pada 1966 sebagai Divisyen Perisikan, agensi itu – sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) – kemudian dinamakan semula sebagai Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) pada 1967.

Tumpuannya adalah untuk melindungi Singapura daripada ancaman luaran dan untuk memajukan kepentingan negara ini dengan memberikan maklumat dan penilaian perisikan yang kritikal kepada pembuat keputusan.

Encik Santa Maria menambah bahawa landskap keselamatan dunia telah berubah dengan pesat berbanding pada era awal penubuhan SID.

Walaupun fokus teras terhadap geopolitik dan ketenteraan kekal, cabaran baharu seperti perang maklumat dan serangan siber kini memerlukan kepakaran teknikal yang jauh lebih tinggi.

“Isu seperti serangan siber dan maklumat palsu menyentuh kita secara langsung.

“Sesiapa sahaja boleh mengambil sesuatu isu di Singapura dan membesarkannya sehingga menimbulkan ketegangan.

“Tugas kami adalah untuk memahami dari mana ia datang dan sebab ia berlaku,” jelasnya.

Bagi memastikan keupayaan pegawai sentiasa di tahap tertinggi, Encik Santa Maria berkata SID melabur secara serius dalam pembangunan modal insan, di mana setiap pegawai menjalani purata sebulan latihan pada setiap tahun.

Sementara itu, mantan Pengarah Kanan Antipengganasan SID, Encik Ng Kah Meng, menekankan bahawa selain kemahiran teknikal, agensi itu amat mengutamakan nilai kejujuran intelektual dan sifat ingin tahu.

“Kejujuran intelektual bermaksud anda perlu sentiasa mempersoalkan andaian sendiri apabila membuat penilaian.

“Kami secara sedar cuba mengelakkan pemikiran kelompok (‘group think’) bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada pemimpin politik adalah berasaskan penelitian yang tepat,” kata Encik Ng.

Meskipun sebahagian besar tugas pegawai SID dilakukan secara senyap di balik tabir, Encik Santa Maria berkata dorongan utama mereka, dan juga sesiapa yang ingin menyertai SID, adalah “rasa tanggungjawab dan tujuan” terhadap keselamatan negara.

Semasa bercakap kepada media, mantan Pengarah SID, Encik Eddie Teo, juga ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang masalah untuk meluahkan apa yang dihadapinya semasa bekerja bersama rakan-rakan dan orang tersayang memandangkan sifat tugasan itu yang penuh rahsia.

Dalam jawapannya, Encik Teo mengatakan bahawa bercakap tentang kerja dengan orang tersayang tidak bermaksud mendedahkan butiran tentang ejen atau operasi SID.

Beliau menambah bahawa kakitangan SID juga boleh bercakap tentang isu-isu yang berlaku di seluruh dunia, seperti apa yang berlaku antara Amerika Syarikat, Russia dan China, tanpa mendedahkan dari mana datangnya maklumat tertentu.

“Setelah sekian lama, anda akan tahu apa yang perlu dikatakan dan apa yang tidak perlu dikatakan,” kata Encik Teo, yang merupakan pengarah SID paling lama berkhidmat, dari 1979 hingga 1994.

“Itu tidak mengapa bagi saya, kerana saya tahu mengapa terdapat perkara-perkara tertentu yang saya tidak boleh katakan.”