SIDANG maritim dan perkapalan utama pertama diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda telah dibuka di Pusat Ekspo & Konvensyen Sands semalam.
Ia menyaksikan peserta dari 27 negara dan wilayah, serta 7,000 hadirin, berkumpul untuk membincangkan langkah seterusnya bagi industri itu.
Edisi ke-17 Maritim Asia Pasifik (APM) adalah satu daripada dua pameran antarabangsa yang akan berlangsung dengan penyertaan secara bersemuka di sini tahun ini - satu lagi ialah Pertunjukan Udara Singapura pada Februari lalu.
Acara tiga hari itu memberi tumpuan kepada perkapalan kontena Asia, keselamatan siber maritim, dan teknologi serta kemampanan maritim lapor The Straits Times.
Ia memainkan peranan penting dalam menghubungkan pembekal maritim antarabangsa dengan pembeli dari Asia Tenggara, dengan syarikat mempamerkan ciptaan terbaru mereka seperti dron dan penderia navigasi serta panel.
Berucap di majlis perasmian pengarah urusan syarikat penganjur RX, Encik Yip Je Choong, berkata:
"Sejak 30 tahun lalu, APM telah dikenali sebagai tempat di mana inovasi dan huraian maritim terkini dipersembahkan, di mana perbincangan menarik untuk melakar masa depan industri dijalankan, dan di mana tawaran perniagaan yang penting dimeterai.
"Walaupun dengan penggunaan wadah digital dalam dua tahun lalu, kami sedar bahawa ia sekadar melengkapkan, tetapi tidak akan boleh menggantikan, penglibatan bersemuka. Tiada yang boleh membina hubungan lebih kukuh daripada interaksi secara bersemuka."
Kehadiran 7,000 orang tahun ini adalah kira-kira separuh daripada edisi sebelumnya pada 2018.
Pertunjukan Udara Singapura pada Februari lalu pula dihadiri 13,000 orang dalam tempoh empat hari.
Reruai pameran di APM termasuk dari Australia, Jerman, Korea Selatan, Belanda dan United Kingdom.
Semua peserta mesti sudah menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya dan ciri tanpa sentuh seperti pendaftaran tanpa sentuh telah disediakan.
Tetamu kehormat Ketua Eksekutif Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) Cik Quah Ley Hoon, berkata acara itu diadakan pada masa industri menghadapi cabaran.
"Dari segi rantaian bekalan global dan arah aliran makro, kita tahu ia terus terganggu, dan ramai di antara kita bersiap sedia menghadapi keadaan menjadi lebih teruk," katanya dalam ucapan di acara perasmian.
"Akibat wabak, kami sudah melihat banyak kapal yang dialihkan dan lebih banyak ketibaan tidak berjadual di pelabuhan kami.
"Dengan perang di Ukraine, rantaian bekalan akan terus terganggu, terutamanya dalam sektor tenaga dan makanan," ujarnya.
Beliau menyeru para peserta supaya mencari jalan agar terus maju dengan pendigitalan dan penyahkarbonan, "supaya kita semua boleh muncul lebih kuat".
Pada majlis perasmian, Persatuan Industri Marin Singapura (Asmi), sebuah badan perdagangan bukan meraih keuntungan, yang mewakili lebih 250 entiti korporat di sini, menandatangani memorandum persefahaman pertama seumpamanya dengan Persatuan Peralatan Marin Korea (Komea) Korea Selatan, yang terdiri daripada lebih 200 syarikat.
ASMI berkata perjanjian itu merasmikan hubungan yang telah berkembang sejak 10 hingga 15 tahun lalu.
Ia akan mengetuai delegasi ke Korea Selatan pada tahun hadapan yang melibatkan pelajar, penyelidik dan wakil lain dalam industri.
Encik Simon Kuik, presiden Asmi, berkata:
"Kami sedang bersiap sedia bagi pemulihan industri minyak dan gas selepas pandemik. Lebih penting, kami mahu bersedia untuk peralihan kepada tenaga bersih.
"Kami perlu bertemu secara bersemuka untuk meneroka kemungkinan dan menyelaraskan pemikiran kami."
"Kami sedang bersiap sedia bagi pemulihan industri minyak dan gas selepas pandemik. Lebih penting, kami mahu bersedia untuk peralihan kepada tenaga bersih.
Kami perlu bertemu secara bersemuka untuk meneroka kemungkinan dan menyelaraskan pemikiran kami." - Encik Simon Kuik, Presiden Persatuan Industri Marin Singapura (Asmi).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg