Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sijil nikah digital bagi pasangan mempelai Muslim mulai 1 Julai

Jun 28, 2024 | 4:32 PM
Pasangan mempelai akan menerima kededua sijil nikah dan sijil upacara penandatanganan fizikal  apabila mendaftar perkahwinan mereka dengan ROMM melalui Portal Perjalanan Perkahwinan (OMJ). 
Pasangan mempelai akan menerima kededua sijil nikah dan sijil upacara penandatanganan fizikal apabila mendaftar perkahwinan mereka dengan ROMM melalui Portal Perjalanan Perkahwinan (OMJ).  - Foto fail

Mulai 1 Julai, pasangan mempelai yang mendaftar perkahwinan mereka bersama Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) akan menerima sijil pernikahan digital.

Mereka akan turut menerima sijil upacara penandatanganan fizikal untuk meraikan detik istimewa itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam posnya di Facebook pada 28 Jun.

Pasangan mempelai akan menerima kededua sijil itu apabila mendaftar perkahwinan mereka dengan ROMM melalui Portal Perjalanan Perkahwinan (OMJ). 

Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) telah mula mengeluarkan sijil perkahwinan digital kepada pasangan mempelai pada 25 September 2023.

Pasangan mempelai akan menerima sijil perkahwinan digital mereka melalui e-mel selepas majlis itu sebagai bukti perkahwinan bagi tujuan pengesahan.

Dr Faishal berkata beliau amat gembira dengan usaha ROMM untuk mempermudahkan proses permohonan pernikahan bagi pasangan di sini.

“Ini merupakan salah satu usaha pendigitalan oleh ROMM untuk memberi khidmat yang lebih baik dan menyokong pasangan dalam mempersiapkan diri bagi perjalanan yang penting ini untuk membina rumahtangga yang kukuh,” tambah beliau.

Langkah itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan pada portal OMJ yang diumumkan pada 2023, yang mendigitalkan keseluruhan proses perkahwinan. 

Sejak 25 September 2023, pasangan Muslim dan wali mereka boleh melengkapkan pengisytiharan wajib dan melakukan tempahan sesi bersemuka program Bersamamu dalam talian. 

Program Bersamamu melibatkan para kadi dan naib kadi yang membimbing para mempelai sebelum mereka mendirikan rumah tangga sehinggalah meniti alam perkahwinan.

Di bawah langkah yang dipertingkat itu, pasangan mempelai kini tidak lagi perlu ke ROMM untuk mengesahkan dokumen pernikahan dan membuat pengakuan sumpah di hadapan kadi atau naib kadi.

Mereka boleh melengkapkan proses pendaftaran pernikahan secara dalam talian melalui Singpass.

Tempahan bagi sesi bersemuka dengan kadi atau naib kadi juga boleh dilakukan dalam talian.

Sebelum ini, kadi atau naib kadi akan menghubungi pasangan untuk membuat janji temu bagi sesi bersemuka itu, yang perlu dihadiri semua pasangan Muslim yang ingin bernikah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg