Topik diikuti
Pergi ke BHkuSikap bertanggungjawab, langkah pelihara institusi Islam antara pengajaran penting
Sikap bertanggungjawab, langkah pelihara institusi Islam antara pengajaran penting
Khutbah Aidilfitri: Ramadan baru berlalu menonjol keperibadian individu dan masyarakat Melayu/Islam Singapura
Sikap bertanggungjawab, langkah pelihara institusi Islam antara pengajaran penting
RAMADAN yang baru berlalu mengajar masyarakat Islam dalam tiga perkara penting: sikap bertanggungjawab, keyakinan dalam kehidupan beragama dan langkah memelihara institusi agama.
Demikian antara intipati khutbah Hari Raya Aidilfitri yang diterbitkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan disampaikan di sini tahun ini.
Menyentuh tentang sikap bertanggungjawab ini, khatib dalam khutbah yang disampaikan berkata:
"Alhamdulillah, kita telah melihat betapa pentingnya menjaga kebajikan dan keselamatan individu serta masyarakat. Sikap peduli kita terhadap keadaan orang lain amat terserlah. Lantas, kita bersedia membuat penyesuaian, walaupun sukar, demi memelihara kesejahteraan bersama.
"Sikap sedemikian adalah amat penting untuk terus disemai dan dihidupkan. Kerana agama kita tidak pernah memisahkan di antara ibadat dan adab, akhlak dan tanggungjawab terhadap orang lain," ujarnya.
Menyentuh tentang keyakinan dalam kehidupan beragama pula, Muis dalam khutbah ini berkata, ujian yang dilalui masyarakat Islam Singapura telah membuktikan bahawa Muslim di sini mampu untuk mencari, memahami dan menyokong huraian tersendiri bagi masalah dan cabaran di Singapura.
"Banyak yang kita kongsi sama dengan masyarakat dan negara lain, tetapi banyak juga yang unik dalam keadaan dan situasi kita.
"Oleh itu, kita harus berani mengambil keputusan dan membuat penyesuaian sendiri, dengan berpendirian teguh mengikut panduan Allah swt dan Rasul-Nya, dan bukan bergantung kepada penguasa agama lain atau masyarakat lain."
Dalam hal ini juga, Muis menekankan bahawa keyakinan yang dikecapi ini berputik dari ilmu dan pemahaman yang menyeluruh akan agama.
"Maka kita perlu terus tingkatkan ilmu serta pemahaman agama, untuk membina tahap keupayaan serta keyakinan masyarakat berhadapan dengan cabaran masa depan," ujarnya.
Menyentuh tentang kepentingan memelihara institusi agama pula, Muis menerusi khutbahnya menjelaskan bahawa masjid-masjid di seluruh negara sentiasa menerima semua jemaah, tidak kira latar belakang anda.
"Namun, tanggungjawab mereka juga adalah untuk memelihara kesejahteraan dan keselamatan," terangnya.
"Tiada yang dilakukan dengan tujuan menyekat ibadat. Sebaliknya, semua usaha bertujuan melindungi jemaah dari bahaya atau kemudaratan yang boleh dielakkan. Masjid-masjid sebagai institusi agama penting di negara memerlukan sokongan, pemahaman dan kerjasama anda semua," ujarnya.
Dalam mengalu-alukan masyarakat Islam di sini melaksanakan sembahyang Hari Raya Aidilfitri, Muis telah menyediakan 22 tempat tambahan bagi menampung 10,000 lagi ruang solat untuk tahun ini.
Ada juga lokasi solat Hari Raya yang diadakan di ruang seperti gelanggang bola keranjang di Yishun Ring Road dan di Pavilion Sukan Woodlands.
Hanya satu sesi solat Aidilfitri akan diadakan di tempat-tempat tambahan sedemikian, iaitu pada 8.15 pagi.
Tempat tambahan itu adalah di samping 230,000 ruang yang disediakan di 68 masjid serata negara.

