Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Simpan cita-cita teroka bidang penerbitan muzik sebagai kerjaya

Keputusan peperiksaan untuk program Baccalaureate Antarabangsa (IB) telah diumumkan kelmarin dan pelajar Singapura yang melalui peperiksaan ini telah mencatat prestasi yang cemerlang berbanding pelajar lain di seluruh dunia. Seramai 157 pelajar Sekolah Seni Singapura (Sota) telah menduduki peperiksaan ini dan kesemua pelajar dari kohort itu telah lulus. BERITA HARIAN menemu ramah dua pelajarnya yang mengambil program diploma IB di sini.
Jan 6, 2021 | 5:30 AM
MINAT MENDALAM: Nur Izad Hamzah Azman (gambar atas) bermain alat instrumen tuba semasa satu persembahan sekolah. - Foto SOTA
MINAT MENDALAM: Nur Izad Hamzah Azman (gambar atas) bermain alat instrumen tuba semasa satu persembahan sekolah. - Foto SOTA -

PENGLIBATANNYA dalam bidang muzik bermula apabila Nur Izad Hamzah Azman menyertai 'kumpulan brass' band untuk kegiatan kokurikulum (CCA) semasa di sekolah rendah.

Dari situlah minatnya berkembang apabila dia diberi peluang bermain tuba.

Nur Izad memilih untuk melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Seni Singapura (Sota) selepas menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

"Apabila keputusan kemasukan ke sekolah diumumkan, ibu saya tidak mahu memberitahu bahawa saya telah berjaya mendapatkan tempat di sana kerana beliau tidak mahu saya menjadi sombong dan risau sekiranya saya tidak akan bekerja keras untuk pelajaran saya. Namun, beliau akhirnya menyampaikan keputusan itu kerana beliau tahu cita-cita untuk ke sekolah impian saya akan mendorong saya untuk belajar dengan lebih keras," katanya yang kini berusia 18 tahun.

Semasa pertama kali bermain muzik di Sota, minatnya terhadap muzik berkurang kerana sudah terbiasa bermain muzik secara berkumpulan sewaktu di sekolah rendah. "Sewaktu saya memasuki Sota, saya mengalami sedikit kejutan budaya kerana saya harus belajar muzik sendirian dan pada waktu itu minat saya berkurang. Namun, minat ini kembali apabila saya menyertai kumpulan brass band di sini," tambahnya.

Dari situ, Nur Izad membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang penerbitan muzik sebagai kerjayanya.

Izad ialah salah seorang daripada 157 pelajar sekolah seni itu yang telah lulus program Baccalaureate Antarabangsa (IB) mereka dan berjaya meraih 36 daripada 45 markah keseluruhan di dalam peperiksaan program diplomanya.

Sewaktu di sekolah itu, beliau telah menerima bantuan daripada Skim Sokongan Kewangan Pelajar-Sota (Sota-SFS) yang memudahkan perjalanan pendidikan seni muziknya.

Dengan skim ini, dia berpeluang turut serta dalam program belajar ke luar negara ke Kemboja, di mana pelajar Sota membahagikan pek makanan dan baju kepada penduduk miskin di sana, dan juga mengajar Bahasa Inggeris kepada para pelajar yang kurang bernasib baik.

"Program belajar itu telah banyak membuka mata saya kepada cara kehidupan penduduk di sana yang masih mengalami impak dari rejim Khmer Rouge. Semasa di sana, saya telah mengenali seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang boleh bernyanyi dengan baik. Saya memberitahunya dia boleh menjadi seorang penyanyi, namun dia menjawab ini tidak mungkin kerana dia perlu bekerja untuk menyara kehidupan keluarganya."

Sejak program itu, Izad berpegang dengan kata-kata "di mana sahaja anda berada dan apa jua latar belakang anda, perbuatan yang baik walaupun kecil adalah amat berharga".

Izad kemudian menceburkan dirinya dalam kerja kemasyarakatan.

Salah satu projek yang dilancarkan bersama beberapa rakan ialah konsert 'One Hope'. Idea itu tercetus semasa sesi Skype yang diadakan bersama rakannya sewaktu tempoh pemutus litar.

Bermula dengan idea mengadakan konsert tahun akhir mereka, ianya kemudian berkembang menjadi sebuah konsert mengumpul dana untuk kempen The RICE Company Limited bagi belia yang mempunyai latar belakang berisiko.

Sebanyak $13,255 kemudian berjaya dikumpulkan untuk dana tersebut.

Selepas tamat pengajian di Sota, beliau berharap dapat melanjutkan pelajarannya ke Britain untuk mempelajari bidang penerbitan muzik.

"Saya mahu belajar tentang perniagaan muzik kerana saya mahu membuka syarikat rakaman saya sendiri kerana ingin membantu mereka yang berminat tetapi tidak mempunyai peluang," katanya.

Ditanya jika ada sesiapa yang telah mendorongnya sewaktu di Sota, Izad menjawab guru kelasnya, Cik Mageswari Rajah, memberinya inspirasi kerana sifat prihatin yang ditunjukkan kepada pelajar sewaktu tempoh pemutus litar.

Seorang lagi yang memberi kesan ialah ibunya, Cik Nooraini Salleh, 51 tahun.

"Ibu saya banyak memberi motivasi kepada saya. Malah, sebelum saya memasuki Sota, beliau telah memberi sokongan yang kuat. Beliau sentiasa memberitahu rakan-rakannya setiap kali saya membuat persembahan betapa bangganya beliau terhadap saya. Senyumannya membuatkan saya mahu melakukan yang terbaik."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg