SEBUAH sindiket rentas sempadan yang menipu rakyat Singapura dengan menggunakan panggilan rakan palsu telah dilumpuhkan berikutan satu operasi bersama polis Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad.

Operasi pada 10 Februari itu dilakukan oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan melibatkan serbuan di Johor dan Singapura.

Sindiket itu dipercayai terlibat dalam lebih 360 laporan, dengan lebih 490 mangsa dan jumlah kerugian melebihi $1.3 juta.

Siasatan awal menunjukkan sindiket itu memulakan kegiatan penipuannya sekitar Disember 2022.

Kad SIM prabayar Singapura digunakan untuk membuat panggilan kepada mangsa di Singapura, dengan penipu itu berpura-pura menjadi rakan mereka dan meminta wang.

Sindiket itu dikesan selepas SPF dan PDRM bekerjasama dan berkongsi perisikan kritikal dan maklumat mengenai operasi sindiket itu serta identiti anggotanya.

Pegawai JSJK melakukan serbuan di tiga kompleks apartmen di Johor dalam operasi bersama itu, membawa kepada penangkapan seorang wanita dan 11 lelaki yang disyaki terlibat dalam penipuan panggilan rakan palsu yang menyasarkan warga Singapura.

Suspek, kesemuanya rakyat Malaysia, berusia antara 16 dan 27 tahun, dan siasatan sedang dijalankan.

Pada masa sama di Singapura, sebagai sebahagian daripada operasi bersama itu, pegawai daripada perintah antipenipuan, CAD dan tujuh divisyen darat polis menahan dan/atau menyiasat 12 lelaki serta dua wanita kerana disyaki terlibat dalam membantu sindiket itu.

Suspek, kesemuanya warga Singapura berusia antara 18 dan 46 tahun, menggubah wang hasil jenayah di Singapura dengan memberi akaun bank peribadi dan akaun Singpass mereka.

Siasatan terhadap 14 orang itu sedang dijalankan.

Kesalahan memudahkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer membawa hukuman penjara hingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Kesalahan pendedahan tanpa kebenaran kod akses bagi sebarang keuntungan yang salah atau tujuan menyalahi undang-undang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.