Sempena perayaan Krismas ini, kos mengirim hadiah menggunakan bungkusan SmartPac akan menjadi lebih mahal.
Singapore Post (SingPost) telah menaikkan harga produk pos jelang musim cuti sebanyak 50 sen hingga 80 sen bagi sebuah pakej.
Ini disebabkan kos operasi yang semakin tinggi, termasuk kos bahan, pengeluaran dan tenaga kerja, jelas jurucakap SingPost kepada The Straits Times.
“Faktor-faktor ini kritikal untuk mengekalkan standard perkhidmatan dan bantuan tinggi yang diharapkan pelanggan.
“Setelah membuat analisis impak peningkatan kos ini dengan teliti, kami mengambil keputusan sukar untuk menyelaraskan kadar harga kami,” katanya.
Pakej SmartPac boleh dikesan sejak ia dihantar sehingga ia sampai.
Khidmat itu dimanfaatkan pelbagai platform e-dagang, khususnya pada akhir tahun.
SmartPac kecil – yang boleh memuatkan sebuah buku kecil – kini berharga $2.70, naik daripada $2.20 sebelum 8 November.
Harga SmartPac sederhana yang boleh memuatkan dokumen A4 dinaikkan daripada $2.20 kepada $3.
Kotak SmartPac yang boleh memuatkan pakaian dan barangan elektronik kecil pula kini berharga $3.70 berbanding $3.20 sebelum ini.
Namun, penyedia perkhidmatan pos itu berkata harga produk SmartPac telah turun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebelum 15 Oktober 2020, harga SmartPac bagi ketiga-tiga saiz tersebut adalah $3.20, $3.80 dan $4.70.
Pada 22 November, SingPost menurunkan harga itu kepada $2.15 untuk pakej kecil dan sederhana, dan $3.15 untuk kotak.
Ini diikuti kenaikan 5 sen, setelah disesuaikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dinaikkan pada 2023.
Mengekalkan daya saing adalah antara sebab SingPost menyelaraskan harga SmartPac pada 2022, jelas jurucakap SingPost itu.
“Penyelarasan kadar ini dilakukan menyusuli semakan menyeluruh terhadap pilihan pasaran untuk perkhidmatan serupa pada masa itu.
“Kami telah menawarkan kadar yang lebih bersaing untuk SmartPac, demi menunjukkan komitmen kami memberi nilai kepada pelanggan kami sementara menyesuaikan diri kepada keadaan pasaran,” tambahnya.
Pada 23 Oktober, SingPost telah menaikkan harga pos biasa, daripada 31 sen kepada 51 sen.
Ini kerana jumlah mel yang semakin berkurang, serta kos buruh, utiliti dan minyak yang semakin tinggi, kata SingPost.
Pada September 2024, SingPost mengesahkan penutupan 12 pejabat pos, kira-kira satu daripada lima cawangan sejak dua tahun lalu.
Ini disebabkan orang ramai yang telah mengalih kepada cara komunikasi digital.
Cik J.J. Chong, 55 tahun, pemilik syarikat makanan haiwan peliharaan, Sugar Mummy, berasa lega kerana telah membeli 80 keping SmartPac pada Oktober.
Beliau berkata akan bertukar kepada pos biasa, yang kini berharga $2, untuk menghantar produk kepada pelanggan.
“Jika pelanggan saya lebih suka penghantaran yang boleh dikesan melalui SmartPac, mereka boleh berbuat demikian jika mereka tambah perbezaan harga,” kata Cik Chong.
Pengguna setia SmartPac, Cik Stella Tan, seorang ahli kimia, berusia 50-an tahun, pula berkata beliau akan tetap menggunakan produk itu untuk mengirim hadiah ulang tahun dan perayaan kepada kawan-kawan rapatnya.
Cik Tan telah menggunakan SmartPac selama lebih 10 tahun.
Beliau memahami keperluan menaikkan harga kerana SingPost sudah menutup banyak cawangan dan sedang menghadapi kos operasi yang semakin tinggi.
“Selagi saya mampu, saya sanggup bayar lebih untuk perkhidmatan yang boleh dipercayai,” ujarnya.
“
“Penyelarasan kadar ini dilakukan menyusuli semakan menyeluruh terhadap pilihan pasaran untuk perkhidmatan serupa pada masa itu. Kami telah menawarkan kadar yang lebih bersaing untuk SmartPac, demi menunjukkan komitmen kami memberi nilai kepada pelanggan kami sementara menyesuaikan diri kepada keadaan pasaran.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg