LANGKAH untuk tidak membenarkan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menggunakan perkhidmatan Telepoll adalah disebabkan oleh Akta Khidmat Pembayaran yang diperkenalkan pada Januari lalu, menurut syarikat telekomunikasi Singtel dalam kenyataan ringkasnya hari ini.
Di bawah Akta itu, pihak penerima wang harus mengetahui sumber wang dan mengesahkan destinasi dana tersebut
"Pengenalan akta khidmat pembayaran pada Januari lalu memerlukan usaha wajar dalam mengetahui sumber dan destinasi derma termasuk mengesahkan sumbangan derma daripada penderma sebelum disalurkan menerusi syarikat-syarikat telekomunikasi.
"Ini menyebabkan kami tidak dapat meneruskan khidmat yang ditawarkan sebelum ini. Kami kekal memberi sokongan tinggi kepada usaha amal mengumpul derma dan percaya TAA akan ketemu pilihan lain dalam usaha mengumpul derma bagi meneruskan usaha baik mereka," kata Singtel.
TAA sebelum ini menyatakan ia idak lagi mempunyai nombor Telepoll 1900 disebabkan peraturan baru bagi Khidmat Telepoll 1900 Singtel.
TAA telah mengemukakan rayuan rasmi kepada Singtel untuk melanjutkan talian Telepoll 1900 TAA sehingga sekurang-kurangnya 23 Mei ini, tetapi tidak berjaya.
Menurut pertubuhan amal itu, jumlah derma yang dikumpulkan menerusi Telepoll semasa Ramadan 2019 adalah $467,000.
Kempen Amal Ramadan TAA akan berlangsung sehingga 23 Mei ini dan usaha mengumpul derma akan disasarkan menerusi saluran Warna942 dan penggunaan media sosial serta wadah pengumpulan derma dalam talian www.TAA.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg