Topik diikuti
Pergi ke BHkuSingtel: Perkhidmatan e-mel SingNet terganggu akibat masalah konfigurasi, bukan serangan siber
Singtel: Perkhidmatan e-mel SingNet terganggu akibat masalah konfigurasi, bukan serangan siber
Singtel: Perkhidmatan e-mel SingNet terganggu akibat masalah konfigurasi, bukan serangan siber
Perkhidmatan e-mel SingNet terganggu pada pagi 18 November, menyebabkan sebahagian pengguna melaporkan tidak dapat mengakses akaun e-mel mereka sebelum perkhidmatan penuh dipulihkan sekitar tengah hari.
Singtel, syarikat induk SingNet, berkata sebagai menjawab soalan The Straits Times (ST) bahawa gangguan itu berlaku “akibat masalah konfigurasi” di pihak penyedia perkhidmatan syarikat telekomunikasi itu.
“Ini bukan serangan siber,” tambah Singtel.
Syarikat telekomunikasi itu menyatakan sebahagian pengguna melaporkan menghadapi kesukaran mengakses akaun e-mel mereka sekitar 11 pagi (18 November).
Dalam catatan Facebook pada 11.08 pagi, Singtel menyatakan ia sedar akan isu tersebut dan jurutera syarikat telah mula menyiasat.
Dalam kemas kini pada 12.13 tengah hari, syarikat itu mengesahkan bahawa perkhidmatan telah pulih sepenuhnya. Pelanggan hanya perlu log keluar dan log masuk semula untuk menggunakan e-mel seperti biasa.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami sepanjang tempoh ini,” ujar Singtel.
Masih tidak jelas berapa ramai pengguna e-mel SingNet yang terjejas akibat gangguan itu.
Menurut Downdetector yang menjejaki gangguan perkhidmatan dalam talian menerusi laporan status yang dihantar oleh pengguna, masalah mula muncul sekitar 9.30 pagi.
Masalah itu memuncak sekitar 10.30 pagi dengan lebih 100 laporan diterima, sebelum beransur pulih menjelang tengah hari.
Dalam ruangan komen catatan Facebook Singtel, pengguna yang terjejas melaporkan tidak dapat mengakses akaun mereka sejak 9.30 pagi.
Beberapa pengguna turut menambah bahawa gangguan itu menjejas operasi perniagaan mereka kerana tidak dapat menghantar atau menerima e-mel.
SingNet dilancarkan oleh Singtel pada Julai 1994, menandakan perkhidmatan akses Internet awam pertama di Singapura. Akaun e-mel SingNet boleh dikenali melalui alamat yang berakhir dengan ‘@singnet.com.sg’.
Gangguan perkhidmatan itu berlaku susulan gangguan Microsoft global berskala besar yang dilaporkan pada 12 November.
Beratus juta pengguna di lebih 70 negara hilang akses kepada perkhidmatan seperti Outlook yang merupakan produk e-mel utama Microsoft, Teams, OneDrive dan SharePoint selama lebih 24 jam.
Microsoft berkata gangguan itu disebabkan oleh kegagalan teknikal, bukan serangan siber.