Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sisa dari Semakau dikaji bagi kegunaan lain

NEA, MPA sedang teroka guna sisa sebagai bahan alternatif bina Pelabuhan Tuas
Sep 17, 2023 | 1:41 PM
TEROKA KEGUNAAN LAIN: Semakau (depan) dilihat dari udara dalam gambar yang diambil pada 20 Mei 2023. Juga dilihat dalam gambar ialah  Pulau Bukom (kanan) dan Pulau Hantu Besar
TEROKA KEGUNAAN LAIN: Semakau (depan) dilihat dari udara dalam gambar yang diambil pada 20 Mei 2023. Juga dilihat dalam gambar ialah Pulau Bukom (kanan) dan Pulau Hantu Besar - Foto fail

Kajian sedang dijalankan untuk memutuskan sama ada abu pembakaran dari Semakau, satu-satunya tanah pelupusan sampah di Singapura, boleh disesuaikan untuk kegunaan lain, seperti membina Pelabuhan Tuas.

Kawasan Pelupusan Sampah Semakau dijangka penuh diisi menjelang 2035.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa bercakap di Sidang Puncak Perniagaan Mampan Bloomberg baru-baru ini, berkata pemerintah sedang meneroka kemungkinan mengambil semula abu dari Semakau untuk disesuaikan bagi kegunaan lain.

Tanah pelupusan sampah seluas 350 hektar itu boleh menampung 28 juta meter padu sampah dan dibahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama, atau Fasa Pertama, mengandungi 11 sel tanah pelupusan sampah yang diasingkan dengan dinding dalaman, atau bund

Fasa Kedua pula ialah ruang lautan seluas 157 hektar yang ditukar menjadi ruang tanah pelupusan sampah.

Fasa Pertama sudah penuh dan Singapura buat masa ini sedang membuang sampah dalam Fasa Kedua.

Sampah di Semakau dibahagi kepada tiga jenis utama dengan kebanyakannya berupa abu pembakaran berat yang diambil dari bahagian bawah relau pembakar.

Ada juga abu pembakaran lebih ringan, atau ‘fly ash’, yang merupakan sisa kawalan pencemaran udara; dan sisa yang tidak boleh dibakar berupa lumpur yang juga dikenali sebagai selut daripada sisa air. 

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) sedang meneroka penggunaan sisa itu sebagai bahan pengisian alternatif yang bagi pembinaan Fasa Ketiga Pelabuhan Tuas, lapor The Straits Times (ST).

Biasanya, bahan pengisian yang digunakan dalam pembinaan merupakan pasir, tanah dan lain-lain sisa pembinaan.

Dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos 2022, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata kerja-kerja penambakan bagi Fasa Kedua Pelabuhan Tuas sedang dijalankan dan perancangan bagi Fasa Ketiga Pelabuan Tuas telah dimulakan.

Pembinaan Pelabuhan Tuas dibahagi kepada empat fasa dan kesemuanya menanggung kos keseluruhan $20 bilion.

Kajian yang dijalankan itu, yang melibatkan institut pengajian tinggi dan pakar runding, akan menilai cara-cara rawatan yang sewajarnya dan melakukan analisis kos faedah untuk menentukan kesesuaian melombong Semakau.

Penolong Profesor Fei Xunchang dari Sekolah Kejuruteraan Sivil dan Sekitaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), memberitahu ST pasukan penyelidiknya sedang menyiasat pelbagai jenis sisa yang ditemui dalam Fasa Pertama untuk melihat sama ada ia boleh disesuaikan bagi kegunaan lain, termasuk bahan pembinaan.

“Sisa di sana kesemuanya bercampur. Mereka telah terdedah kepada hujan, angin, matahari selama 20 tahun. Mutu bahan campuran ini juga amat berbeza, justeru ciri-ciri bahan ini juga berbeza jika dibandingkan dengan abu yang baru dihasilkan daripada pembakar,” ujar beliau.

Menurutnya, beliau dan pasukan telah melawat Semakau beberapa kali untuk mengambil contoh sisa yang ada dan melakukan siasatan di sana untuk memastikan ciri-ciri sisa yang berada sehingga 20 meter di bawah permukaan.

Menurut beliau, sisa yang lebih serupa dengan abu yang baru dibakar lebih mudah dibersihkan, dirawat dengan kimia atau ditukar menjadi gas. 

Sebagai contoh, abu pembakar yang dijadikan gas – dengan membakarnya pada suhu tinggi – boleh dijadikan bahan serupa kaca yang dikenali sebagai ‘NEWSand’, yang buat masa ini digunakan untuk membina tempat pejalan kaki dan produk konkrit. 

Menggunakan teknik serupa untuk merawat bahan sisa boleh menghasilkan sisa serupa kaca yang mungkin boleh digunakan sebagai bahan pengisian dalam pembinaan tanpa dirawat lebih lanjut, kata Dr Fei. 

Namun, cabarannya adalah untuk menentukan apa yang boleh dilakukan pada sisa yang telah diubah ekoran cuaca bagi tempoh yang lama.

Buat masa ini, pasukan itu sedang melakar peta terperinci bagi Semakau untuk memudahkan usaha mengenal pasti bahagian di mana sisa yang boleh digunakan, boleh diambil.

Ditanya bagaimana sisa dari Semakau boleh digunakan dalam pembinaan Pelabuhan Tuas, Dr Fei berkata satu kemungkinan ialah menggunakannya sebagai bahan pengisian untuk caisson, iaitu struktur kedap air di bahagian asas pelabuhan.

Menurut ST, syarikat konsultan kejuruteraan Aecom sedang mengkaji kos melombong seluruh Semakau, tetapi syarikat itu enggan mengulas lebih lanjut kerana berkata perkara itu disifatkan sebagai rahsia.

NEA berkata kajian itu akan diteruskan sehingga 2024, dengan beberapa tanda awal kesesuaian projek dijangka pada akhir 2023 atau awal 2024.

“Sisa di sana kesemuanya bercampur. Mereka telah terdedah kepada hujan, angin, matahari selama 20 tahun. Mutu bahan campuran ini juga amat berbeza, justeru ciri-ciri bahan ini juga berbeza jika dibandingkan dengan abu yang baru dihasilkan daripada pembakar.”
Penolong Profesor Fei Xunchang dari Sekolah Kejuruteraan Sivil dan Sekitaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengenai sisa pembakaran dari Semakau.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg