Topik diikuti
Pergi ke BHkuSistem AI ‘ARIS’ ringan beban pegawai MOM, potong 25 peratus masa siasat kes kemalangan kerja
Sistem AI ‘ARIS’ ringan beban pegawai MOM, potong 25 peratus masa siasat kes kemalangan kerja
Inovasi hasil cetusan idea pasukan Mohamed Haniffa Ibrahim berjaya jimat sekitar 125 jam masa kerja bagi setiap kes kompleks, sekali gus rangkul Anugerah Cemerlang Pengawalseliaan
Sistem AI ‘ARIS’ ringan beban pegawai MOM, potong 25 peratus masa siasat kes kemalangan kerja
Di Kementerian Tenaga Manusia (MOM), para pegawai siasatan memerah tenaga di sebalik tabir ketika mengendalikan kes kemalangan maut atau serius di tempat kerja, demi mempertahankan keselamatan pekerja di Singapura.
Bagaimanapun, tugas meneliti banyak kod peraturan dan akta keselamatan dan kesihatan, serta menemu bual pelbagai pihak sebelum mengambil tindakan yang tepat, bukanlah satu perkara yang mudah.
Bayangkan proses rumit ini perlu diulangi bagi sekitar 180 kes kompleks setiap tahun.
Berbekal tekad meringankan beban kerja tersebut, Penolong Pengarah Kanan (Siasatan Penipuan dan Kemalangan Kompleks) di Jabatan Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Encik Mohamed Haniffa Ibrahim, memimpin beberapa anggota lain untuk mencipta ARIS - Sistem Siasatan Diperkukuh Kecerdasan Buatan (AI).
Direka khas untuk menguruskan tugasan rutin dan berulang, ARIS berjaya memotong masa pengendalian kes kompleks sebanyak 25 peratus, iaitu penjimatan sekitar 125 jam masa bekerja bagi setiap kes.
Hasil inovasi dan semangat kerjasama erat di sebalik pembinaan ARIS melayakkan pasukan tersebut diiktiraf dengan Anugerah Kecemerlangan Pengawalseliaan pada 3 Julai.
Mereka antara 136 pegawai dan agensi yang diberi penghormatan menerima pelbagai anugerah Transformasi Sektor Awam (PST) di Pesta Perkhidmatan Awam: SPARK 2026 pada 3 Julai.
Para penerima anugerah tersebut diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam kelancaran menyediakan perkhidmatan, usaha inovasi serta kecemerlangan pertubuhan, sekali gus memacu kemajuan penting, termasuk dalam aspek utama seperti kemampanan alam sekitar dan AI.
Berkongsi proses penciptaan ARIS kepada Berita Harian (BH), Encik Haniffa menjelaskan sistem itu bertujuan meringkankan beban tugasan manual.
“Terdapat beberapa langkah dalam proses siasatan, termasuk merujuk kepada banyak akta dan kod peraturan, yang membuat tugas ini amat mencabar.
“Lantas, kami mahu menyokong para pegawai dengan mengurangkan aspek tugasan manual yang berulang, sekali gus membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada tugas yang paling penting, terutamanya membuat pertimbangan,” kata beliau yang sudah bekerja di MOM sejak 2010.
Selama sekitar dua tahun, lapan anggota daripada pejabat berbeza MOM berganding bahu untuk mencipta ARIS, menerusi platform AIBots GovTech.
Ia termasuk melibatkan sekitar 25 pegawai siasatan untuk memahami cabaran dan keperluan mereka.
“Sistem ini tetap memerlukan sentuhan manusia. Ia dicipta khusus untuk memperkasakan, dan bukan menggantikan pekerja, hasil pertimbangan para pegawai kami,” tambah Encik Haniffa.
Selain memudahkan proses menganalisis akta dan kod peraturan dengan lebih lancar dan tepat, ARIS juga mampu memberi sokongan secara langsung semasa para pegawai menemu duga pihak berkepentingan.
Misalnya, sistem itu boleh mengesan maklumat kritikal yang terlepas pandang serta menyarankan soalan susulan bagi mendapatkan maklumat tersebut, jelas Encik Haniffa.
ARIS juga merumuskan segala bukti dan bahan siasatan untuk menghasilkan draf laporan, supaya pegawai dapat mengambil tindakan seterusnya.
Hasilnya, tindakan terhadap kes serta langkah pencegahan boleh diambil dengan lebih cepat, sambil mengurangkan kesilapan dalam proses siasatan.
Menangani 180 kes setiap tahun, sistem ARIS telah menjimatkan 22,500 jam bekerja buat MOM, atau pengurangan kira-kira 18,000 jam bagi tempoh menguruskan proses kawal selia.
Encik Haniffa, bapa dua anak, mengakui pasukannya menghadapi beberapa cabaran pada peringkat awal projek tersebut, memandangkan mereka tidak mempunyai latar belakang yang luas dalam bidang AI.
“Bagaimanapun, kami tetap bersikap positif dan terbuka kepada perubahan ini. Kami percaya teknologi boleh membantu pegawai kami, dan kami perlu berikhtiar untuk mencari jalannya,” ujar beliau.
Beliau menambah kehadiran kakitangan daripada pejabat berbeza turut memberi sentuhan kreatif dan inovatif tambahan yang bermanfaat apabila mereka menghadapi rintangan.
Kini, ARIS telah diperluaskan kepada agensi lain.
Sejak ia dilancarkan pada November 2025, ARIS sudah diterapkan oleh sekitar sembilan agensi pemerintah lain yang juga menjalankan siasatan.
“Kami amat bersyukur kerana usaha kami berbaloi. Kejayaan ini tidak boleh dicapai tanpa kerja keras setiap anggota pasukan serta sokongan para pemimpin.
“Perjalanan kami tidak henti di sini, dan saya berharap kami akan terus meneroka peluang baharu untuk mempertingkatkan corak kerja kami,” kata Encik Haniffa.
