Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem kesan Covid-19 lebih cepat akan diuji di Tuas

Hasil ujian dikeluarkan dalam seminit oleh sistem ujian pernafasan BreFence Go ciptaan syarikat NUS
May 25, 2021 | 5:30 AM
LEBIH PANTAS: Dengan menggunakan sistem BreFence Go ini, hasil ujian Covid-19 boleh didapatkan dengan lebih pantas dan cekap. Sistem ini akan mula diuji di Pusat Pemeriksaan Tuas dalam beberapa hari ini. - Foto REUTERS
LEBIH PANTAS: Dengan menggunakan sistem BreFence Go ini, hasil ujian Covid-19 boleh didapatkan dengan lebih pantas dan cekap. Sistem ini akan mula diuji di Pusat Pemeriksaan Tuas dalam beberapa hari ini. - Foto REUTERS -

SATU ujian pernafasan yang dapat mengesan Covid-19 dengan tepat dalam masa seminit akan dilancarkan di Singapura.

Dikenali sebagai Sistem Ujian Pernafasan Covid-19 BreFence Go, ia bakal diuji di Pusat Pemeriksaan Tuas dalam beberapa hari ini.

Sistem ujian pernafasan, atau breathalyser, itu, yang merupakan hasil ciptaan syarikat Breathonix di bawah Universiti Nasional Singapura (NUS), telah mendapat kebenaran sementara daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Dalam satu pengumuman bersama semalam, Breathonix dan NUS berkata ia sistem sedemikian yang pertama mendapat kebenaran di sini.

Dengan menggunakan alat pernafasan itu, ujian Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih pantas dan cekap, tanpa memerlukan sampel diproses di tempat lain.

Kakitangan terlatih akan mengendalikan ujian tersebut, tanpa memerlukan kakitangan perubatan terlatih.

Breathonix sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menggunakan sistem tersebut di Pusat Pemeriksaan Tuas, tempat pengunjung yang masuk ke negara ini akan diuji.

Ujian pernafasan itu akan dilakukan bersamaan ujian pantas antigen (ART) Covid-19 yang diwajibkan.

Ujian pantas antigen dapat menghasilkan keputusan dalam masa 30 minit dan boleh dilakukan di lokasi.

Sementara itu, ujian reaksi rantai polimerase (PCR), yang dianggap sebagai standard emas bagi ujian, memerlukan beberapa jam.

Swab untuk ujian PCR juga harus dibawa ke makmal.

Dengan menggunakan sistem BreFence Go, orang ramai bernafas ke dalam corong mulut pakai buang yang dihubungkan ke alat sampel pernafasan.

Satu spektrometer jisim menganalisis partikel yang tidak dapat dilihat, yang dipanggil kompaun organik meruap (VOC), yang terdapat dalam nafas seseorang.

Seseorang yang sihat akan mempunyai penanda VOC berbeza daripada seseorang yang sakit, dan penyakit berbeza menghasilkan penanda berbeza.

Tempoh masa dari pengambilan sampel pernafasan hingga hasil ujian dijana secara automatik ialah kurang seminit.

Individu yang didapati positif perlu menjalani ujian swab PCR bagi pengesahan.

Ketua Eksekutif Breathonix, Dr Jia Zhunan, berkata: "Ujian pernafasan kami tidak invasif. Pengguna hanya perlu menarik nafas seperti biasa ke dalam corong pakai buang yang disediakan, jadi ia tidak akan menyebabkan rasa tidak selesa."

Beliau menambah bahawa pencemaran silang juga tidak mungkin berlaku kerana penutup mulut yang dipakai sekali mempunyai injap sehala dan perangkap air liur untuk mengelakkan penyedutan atau air liur daripada memasuki mesin.

Sistem itu telah menjalani ujian klinikal di tiga lokasi yang dijalankan dari Jun tahun lalu hingga bulan lepas.

Di Singapura, percubaan menggununakan sistem itu turut dilakukan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Lapangan Terbang Changi, sementara percubaan ketiga dijalankan di Dubai, hasil kerjasama dengan Lembaga Kesihatan Dubai dan Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan Mohammed Bin Rashid.

Breathonix sedang dalam perbincangan dengan beberapa pertubuhan tempatan dan luar negara untuk menggunakan sistem itu.

Breathonix diasaskan bersama oleh tiga lulusan NUS - Dr Jia, Encik Du Fang dan Encik Wayne Wee - bersama Profesor T. Venky Venkatesan.

Ia disokong oleh Program Inovasi Penyelidikan Siswazah NUS (Grip), iaitu sebuah skim yang mendorong siswazah dan kakitangan penyelidikan NUS berbakat menubuhkan dan menjalankan syarikat permulaan berpotensi tinggi berdasarkan teknologi dalam (inovasi teknologi tinggi dalam kejuruteraan, atau kemajuan saintifik besar).

"Pandemik ini akan terus berlanjutan selama beberapa tahun. Ujian berulang, besar-besaran harus diguna pakai secara meluas sebagai strategi kesihatan awam utama untuk menyokong pembukaan semula ekonomi secara selamat, dan teknologi buatan tempatan Breathonix tepat memenuhi keperluan. Saya yakin teknologi mereka yang lain daripada yang lain ini akan memberi sumbangan penting dalam melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat Singapura dan masyarakat global." - Profesor Freddy Boey, Timbalan Presiden (Inovasi dan Keusahawan) NUS, mengenai Sistem Ujian Pernafasan Covid-19 BreFence Go.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg