Maklumat peribadi kira-kira 128,000 peminjam wang melibatkan 12 syarikat pemiutang wang berlesen telah terdedah, selepas penggodam menceroboh sistem komputer vendor teknologi maklumat (IT) pihak ketiga, Ezynetic, yang menyimpan maklumat tersebut.
Akibat pencerobohan itu, “maklumat pengenalan peribadi” pelanggan tersebut telah dicuri, menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dalam satu kenyataan pada 25 Julai.
Kes tersebut melibatkan 12 syarikat pemiutang wang, iaitu Ban King Credit, Credit 21, Lending Bee, Katong Credit, Credit Thirty3, GS Credit, 1AP Capital, Creditmaster, BST Credit, U Credit, Horison Credit dan Credit Matters.
Kesemua syarikat telah mula memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai pencerobohan itu, dan mengingatkan mereka agar mengambil sikap berwaspada terhadap kemungkinan percubaan menipu melibatkan pancingan data, menurut MinLaw,
Ezynetic dan kesemua syarikat pemiutang wang itu telah memfailkan beberapa laporan dengan polis, Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura, dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC), lapor The Straits Times (ST).
Sebanyak 20 syarikat menggunakan perkhidmatan Ezynetic, namun lapan syarikat tidak terjejas dengan kes tersebut, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa sistem komputer pihak ketiga itu tidak dikaitkan dengan rangkaian pemerintah.
Untuk mengelak sebarang pelanggaran data seterusnya, Biro Kredit Singapura (CBS) telah menyekat kesemua 20 syarikat yang menggunakan perkhidmatan Ezynetic daripada mengakses wadah Biro Kredit Pemiutang Wang.
Wadah tersebut menyimpan rekod pinjaman dan pembayaran hutang bagi semua peminjam wang, melibatkan setiap syarikat pinjaman wang berlesen di Singapura.
Sambil menegaskan ia memandang serius pelanggaran data itu, MinLaw berkata syarikat pemiutang wang berlesen bertanggungjawab melindungi maklumat peribadi dalam kawalannya, termasuk data yang disimpan di sistem komputer vendor pihak ketiga.
Sementara itu, dalam satu kenyataannya, CBS berkata data di wadah Biro Kredit Pemiutang Wang tidak terjejas atau bocor.
Ia menafikan beberapa laporan media yang menyatakan data di wadah tersebut telah digodam.
Beberapa laporan media menyatakan bahawa satu kumpulan penggodam yang digelar GhostR telah memperoleh data daripada wadah tersebut pada 14 Jun, dan akan mendedahkan “laporan biro kredit” melibatkan setiap peminjam wang di Singapura.
Bagaimanapun, CBS menyatakan pelanggaran data itu hanya menjejas vendor pihak ketiga yang berkhidmat untuk beberapa syarikat pemiutang wang berlesen.
Data peribadi di wadah tersebut kekal selamat, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg