SATU sistem pendingin daerah terbesar di Singapura akan dibina di sebuah projek pembangunan perindustrian di Ang Mo Kio pada 2025, sedang penggunaan teknologi jimat tenaga semakin meningkat di sini.
Projek terbaru itu diumumkan susulan beberapa pengumuman lain dibuat untuk memasang atau memperluaskan lagi rangkaian pendingin daerah di Singapura, termasuk di Kent Ridge, Daerah Tasik Jurong, Tampines dan Marina Bay.
Singapura kini sedang mempertingkatkan usaha mengurangkan penggunaan elektrik dan pelepasan karbon dengan menggunakan rangkaian pendingin daerah yang membenarkan kelompok bangunan berkongsi dan memanfaatkan bekalan pendinginan melalui loji pendingin pusat.
Syarikat utiliti SP Group dan pengeluar semikonduktor global STMicroelectronics berkata projek yang akan dibangunkan di TechnoPark STMicroelectronics di Ang Mo Kio itu akan memulakan operasi pada 2025, dengan pengeluar semikonduktor itu melabur AS$370 juta ($514 juta) dalam tempoh 20 tahun.
Sistem itu dijangka mencapai penjimatan lebih 20 peratus dalam bentuk penggunaan elektrik setiap tahun dengan meningkatkan kecekapan sistem pendingin, dengan potensi mengurangkan pelepasan karbon hingga 120,000 tan setahun, bersamaan dengan menghapuskan 109,090 kereta dari jalan raya, lapor akhbar The Straits Times.
Selain penggunaan tenaga yang lebih rendah, usaha mengurangkan pelepasan karbon itu didorong oleh perubahan terhadap lebih 4,000 meter persegi yang diperuntukkan untuk loji pendingin itu, yang tidak akan digunakan lagi sebaik sistem pendingin daerah itu mula beroperasi.
Ini akan menyediakan ruang bagi peralatan pengurangan tenaga solar dan perfluorokarbon (PFC) - sistem yang akan mengurangkan pelepasan PFC yang dihasilkan daripada pembuatan semikonduktor yang menjejas alam sekitar.
Di bawah perjanjian yang ditandatangani semalam itu, SP akan mereka bentuk, membina dan mengendalikan sistem tersebut, mengepam air dingin untuk memenuhi kededua keperluan pembuatan dan pendinginan ruang di projek pembangunan perindustrian Ang Mo Kio itu.
Mengalu-alukan langkah membina sistem pendingin itu sebagai kunci memperkasa masa depan rendah karbon bagi bandar dan taman perindustrian, ketua eksekutif kumpulan SP, Encik Stanley Huang, berkata huraian itu disesuaikan bagi membantu pembangunan pengeluaran intensif tenaga, seperti TechnoPark STMicroelectronics, mengurangkan penggunaan tenaga mereka serta pelepasan karbon dengan menggunakan strategi lebih mampan.
Presiden sumber manusia dan tanggungjawab sosial korporat STMicroelectronics, Cik Rajita D'Souza, berkata: "Sistem pendinginan di Singapura ini akan menjadi projek pertama di mana STMicroelectronic menggunakan pendingin daerah di prasarana pengeluaran secara global dan mengesahkan lagi komitmen kami mencapai sasaran neutral karbon secara global menjelang 2027."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg