MELIHAT jumlah pengikutnya yang melebihi 4,000 orang di Instagram, memang tidak dinafikan Cik Ashikin Hamidon merupakan antara 'influencer' media sosial hari ini.
Beliau sering menggayakan pakaian dan tudung terkini daripada beberapa jenama fesyen tempatan dan memuat naik gambar-gambar beliau menggayakannya di akaun Instagramnya - @ashyclair.
Pengaruhnya yang meluas di kalangan penggemar fesyen dalam talian telah membuahkan hasil bagi siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) ini.
Beliau yang meraih ijazah dengan Kepujian dalam jurusan Ekonomi, kini bekerja secara bebas sebagai model gaya muslimah sekaligus meraih pendapatan daripadanya.
Anak sulung tiga beradik ini mengenakan bayaran sekitar $40 sejam bagi setiap 'photoshoot' dengan kebanyakan jenama setempat mendapatkan khidmatnya sehingga tiga jam bagi setiap pengambilan gambar.
Jumlahnya juga berbeza bagi pengambilan gambar di kawasan luar.
"Selalunya apabila hampir dengan musim Raya, jumlahnya agak banyak dan permintaan amat kerap," katanya.
Namun selain menjadi model bebas, Cik Ashikin, 23 tahun, yang merupakan bekas penuntut Maktab Rendah Raffles ini juga aktif membuat pemasaran bagi syarikat Rosevalley.
"Saya memang berminat dalam pemasaran sejak di maktab rendah lagi apabila saya selaku naib presiden melakukan segala unsur pemasaran bagi setiap acara yang dilakukan persatuan bahasa Melayu sekolah.
"Di NUS pula, sebagai ketua perhubungan awam untuk persatuan bahasa Melayu, saya juga membuat pemasaran bagi pelbagai acara berkaitan budaya Melayu," ujarnya.
Beliau juga kini membantu temannya, memasarkan perniagaan kecergasannya - Start Station.
Untuk meningkatkan pengetahuannya, Cik Ashikin juga telah mengikuti beberapa kursus pemasaran.
Namun bagi bekas pelajar Sekolah Perempuan Cedar ini, mencari kerja tetap dalam bidang pemasaran bukan di dalam senarai perkara yang ingin dilakukannya.
"Sebenarnya banyak aspek pemasaran dapat saya pelajari dengan melakukan kerja ini secara bebas.
"Selain memupuk nilai seperti ketabahan dan kecekalan, ia juga mengajar saya bagaimana untuk terus berusaha dan bekerjasama dengan syarikat lain dalam memasarkan sesuatu jenama," ujarnya positif.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg