SKIM Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) telah mengagihkan bantuan sebanyak $1.8 bilion kepada hampir 200,000 Individu yang Bekerja Sendiri (SEP) yang layak antara April lalu dengan bulan ini.
Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dalam satu kenyataan semalam.
Skim yang bertujuan membantu golongan SEP mengharungi pandemik Covid-19 sekarang memberi tiga bayaran tunai - $3,000 setiap kali - kepada mereka yang mempunyai kurang sumber pendapatan dan sokongan keluarga.
Bayaran itu diagihkan setiap suku pada bulan Mei, Julai dan Oktober, secara bertahap.
SIRS, yang permohonan baginya tutup pada 31 Disember, diumumkan buat kali pertama sebagai sebahagian Belanjawan Berdaya Tahan Mac lalu.
Lebih separuh daripada penerima SIRS layak meraih manfaat daripada skim itu secara automatik manakala bakinya berjaya memohon bagi skim tersebut, kata MOM dan NTUC.
Tujuh daripada 10 permohonan yang diproses NTUC diluluskan, dengan fleksibiliti diberi dalam kriteria kelayakan untuk membantu lebih ramai SEP.
Permohonan yang ditolak termasuk pemohon yang meraih pendapatan lebih tinggi, tinggal di hartanah bernilai tinggi atau memiliki dua atau lebih hartanah bersama pasangan mereka.
Malah, ada juga yang tidak dapat menunjukkan bukti bahawa mereka bekerja sendiri.
Bayaran SIRS akan melindungi golongan SEP terjejas hingga hujung bulan ini.
Oleh itu, permohonan juga akan ditutup pada 31 Disember.
Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan memperkenal skim bantuan kewangan baru - Geran Pemulihan Covid-19 (CRG) - yang akan memberi bantuan kewangan kepada SEP dan pekerja yang layak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg