Skim Dana Amanah Keperluan Khas Muis dilanjutkan dua tahun lagi sehingga 2023
Skim Dana Amanah Keperluan Khas Muis dilanjutkan dua tahun lagi sehingga 2023
Skim Dana Amanah Keperluan Khas Muis akan dilanjutkan selama dua tahun lagi sehingga akhir 2023 agar lebih ramai keluarga dapat meraih manfaat, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Sejak ditubuhkan pada 2019, skim berkenaan telah memanfaatkan lebih 30 keluarga yang menubuhkan akaun amanah untuk anak-anak mereka yang berkeperluan khas, menurut Encik Masagos semasa meraikan Hari Rahmatan Lil Alamin secara maya hari ini.
"Sebagai sebuah masyarakat majmuk, marilah kita berganding bahu untuk memperkukuhkan lagi ekosistem sokongan bagi golongan berkeperluan khas," kata beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Sementara itu, Encik Masagos berkata Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah menjalankan pelbagai projek di dalam dan luar negara, tanpa mengira bangsa atau agama.
Awal tahun ini, RLAF bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kebajikan bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat PBB (UNRWA) untuk mengumpul lebih $4.2 juta bagi menolong pelarian Palestin yang terjejas oleh krisis di Gaza.
Baru-baru ini, RLAF turut mengumpul dana untuk Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi menyediakan bantuan jagaan kesihatan dan khidmat sosial bagi masyarakat terjejas di Yemen.
Dalam majlis itu juga, Muis menyampaikan cek bernilai $50,000 bagi menyokong usaha RLAF mengumpul dana bagi Cabaran Presiden.

