Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim gajikan lebih ramai pekerja asing jana peluang ekon bagi warga S'pura: See Leng

Jan 10, 2023 | 5:30 AM
- Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.
- Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng. -

SEBUAH skim baru, yang dilancarkan bulan lalu bagi membolehkan syarikat yang memajukan keutamaan ekonomi Singapura menggajikan lebih ramai pekerja asing buat sementara waktu melebihi kuota industri, bertujuan menjana lebih banyak peluang ekonomi bagi warga Singapura.

Pada masa yang sama, ia juga memastikan terdapat lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan buat rakyat Singapura, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, di Parlimen semalam.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) telah mengajukan soalan di Parlimen berhubung Skim Tenaga Manusia bagi Keutamaan Ekonomi Strategik (M-SEP) itu, termasuk kesan skim itu terhadap pekerja tempatan dan jumlah pekerja asing tambahan yang dijangkakan.

Skim M-SEP, yang kali pertama diumumkan semasa Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Mac tahun lalu, direka untuk menyokong syarikat yang memajukan keutamaan dan daya saing ekonomi Singapura merebut peluang berkembang di sini sambil menyediakan peluang kerja dan latihan kepada warga Singapura.

Syarikat yang layak boleh memohon kuota tambahan bagi Pas S dan Permit Kerja sehingga 5 peratus daripada jumlah tenaga kerja asas mereka, tertakluk kepada had 50 pekerja, selama dua tahun pada satu-satu masa.

Namun, syarikat perlu memenuhi dua syarat di bawah skim itu, yang tidak harus dilihat secara berasingan, kata Dr Tan.

Yang pertama, syarikat mesti telah menyertai program atau kegiatan yang sejajar dengan salah satu dari tiga keutamaan ekonomi - pelaburan yang menyokong strategi hab Singapura, inovasi atau penyelidikan dan pengembangan (R&D), dan penyejagatan.

Antara program tersebut ialah 'Scale-Up SG' di bawah Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Dr Tan berkata hanya sekitar 1,000 firma memenuhi kriteria kelayakan ini - kurang 1 peratus daripada kesemua entiti perniagaan yang berdaftar di Singapura.

"Dengan cara ini, M-SEP bersikap selektif dalam menyasarkan firma atau pelaburan yang akan mengembangkan ekonomi dan daya saing kita," kata beliau.

"Oleh kerana skim ini telah direka bentuk untuk menjadi sangat selektif di peringkat firma, tidak ada keperluan untuk menetapkan kriteria lanjut mengenai pengerahan khusus setiap pekerja tambahan yang diambil di bawah M-SEP. Pengurusan mikro sedemikian tidak akan membantu firma," tambah beliau.

Dr Tan menambah bahawa program yang perlu disertai syarikat bagi menjadi layak untuk skim itu juga berkaitan bukan hanya dengan pertumbuhan, malah juga "membantu firma menjadi lebih produktif pada masa yang sama, melalui inovasi dan penyejagatan".

Syarat kedua pula memerlukan syarikat menggajikan atau melatih pekerja tempatan untuk melakukan pekerjaan baru sedang syarikat tersebut berkembang.

"M-SEP bekerjasama dengan usaha pemerintah sedia ada untuk membangunkan kumpulan bakat tempatan, termasuk yang di bawah Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG)," kata Dr Tan.

Syarikat boleh memilih menggajikan pekerja setempat melalui saluran mereka sendiri atau program pemerintah, asalkan pekerja tersebut dibayar gaji melebihi Kelayakan Gaji Setempat (LQS) sebanyak $1,400.

Dr Tan berkata syarikat sedemikian akan perlu mencapai kenaikan bersih dalam jumlah pekerja setempat yang digajikan.

Karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) pertengahan kerjaya yang diambil bekerja melalui skim kerjaya lain juga akan dikira sebagai memenuhi syarat menggajikan lebih ramai pekerja setempat itu, tambah beliau.

Bagaimanapun, Dr Tan menambah bahawa pihak berkuasa "sedar bahawa tidak realistik" untuk menjangkakan semua syarikat dapat memenuhi kriteria menggajikan pekerja itu di tengah-tengah pasaran pekerja yang ketat.

Oleh itu, syarikat juga boleh menghantar pekerja setempat mereka menyertai program latihan diiktiraf, seperti yang ditadbirkan WSG atau SSG.

"Tidak kira sama ada firma memilih untuk memenuhi syarat kedua melalui pengambilan pekerja atau komitmen latihan, semua firma M-SEP juga perlu mengekalkan bahagian tenaga kerja tempatan mereka secara minimum semasa tempoh sokongan M-SEP," kata Dr Tan.

BERSIKAP SELEKTIF SASAR FIRMA KEMBANGKAN EKONOMI

"Oleh kerana skim ini telah direka bentuk untuk menjadi sangat selektif di peringkat firma, tidak ada keperluan untuk menetapkan kriteria lanjut mengenai pengerahan khusus setiap pekerja tambahan yang diambil di bawah M-SEP..."

LATIH PEKERJA TEMPATAN LAKUKAN PEKERJAAN BARU SEDANG FIRMA BERKEMBANG

"M-SEP bekerjasama dengan usaha pemerintah sedia ada untuk membangunkan kumpulan bakat tempatan, termasuk yang di bawah Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG)."

- Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg