Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim Golongan Dewasa Sesuai buat pekerja asing lebih bebani polis: Shanmugam

Nov 4, 2020 | 9:13 PM
ENGGAN SULITKAN KEADAAN: Dalam kenyataan menterinya, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam menjelaskan, pegawai polis sudah dibebani tugas yang banyak, dan mengadakan keperluan bagi golongan Dewasa Sesuai (Appropriate Adults) berada di sisi setiap pekerja asing yang diwawancara polis akan menjadi satu latihan yang mencabar.- Foto FAIL
ENGGAN SULITKAN KEADAAN: Dalam kenyataan menterinya, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam menjelaskan, pegawai polis sudah dibebani tugas yang banyak, dan mengadakan keperluan bagi golongan Dewasa Sesuai (Appropriate Adults) berada di sisi setiap pekerja asing yang diwawancara polis akan menjadi satu latihan yang mencabar.- Foto FAIL -

PEGAWAI polis sudah dibebani tugas yang banyak, dan mengadakan keperluan bagi golongan Dewasa Sesuai (Appropriate Adults) berada di sisi setiap pekerja asing yang diwawancara polis akan menjadi satu latihan yang mencabar.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata demikian dalam kenyataan menteri berhubung kes bekas pembantu rumah Parti Liyani di Parlimen semalam, dalam menjawab soalan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon).

Encik Ng telah bertanya sama ada pekerja domestik asing dan pemegang permit kerja boleh ditemani kakitangan bukan undang-undang serupa Skim Golongan Dewasa Sesuai yang menemani individu di bawah usia dan golongan dengan daya upaya minda yang lemah bagi wawancara polis.

Memberi perangkaan, Encik Shanmugam berkata golongan Dewasa Sesuai menghadiri 2,300 kes pada tahun lalu, yang melibatkan individu bawah umur dan mereka yang lemah dari segi daya keupayaan minda.

Secara purata, terdapat 2,741 pekerja asing yang memegang permit kerja yang ditangkap setiap tahun dari 2015 hingga 2019 sebagai tertuduh berpotensi.

"Wawancara perlu dilakukan dengan pantas. Saya telah katakan sebelum ini: Polis sudah dibebani tugas yang banyak. Janganlah kita membebani mereka lagi.

"Jika kami perlu menyediakan golongan Dewasa Sesuai bagi setiap pekerja asing yang diwawancara, kami akan sekurang-kurangnya perlu menggandakan kumpulan relawan yang ada sekarang, menyediakan latihan dan sumber. Ada yang mungkin memerlukan lebih daripada satu kenyataan, dan ini akan menjadi satu kekangan dan beban terhadap polis," kata beliau.

Encik Shanmugam menambah bahawa wawancara juga akan perlu ditangguh sekiranya mereka tidak boleh mendapatkan golongan Dewasa Sesuai, dan isu lain juga boleh timbul, seperti bukti boleh hilang.

Beliau berkata pekerja asing merupakan orang dewasa, dan polis perlu memastikan bahawa mereka memahami soalan yang ditanya dan jawapan mereka dirakam dengan betul.

Mengongsi beban tugas polis, Encik Shanmugam berkata polis menyiasat sekitar 66,200 kes jenayah pada 2016, dan ini dikendalikan sekitar 1,100 pegawai siasatan.

Nisbah pegawai polis terhadap penduduk bagi Singapura ialah 0.23 peratus, termasuk anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF).

Nisbah bagi New York ialah 0.42 peratus; London 0.34 peratus; dan Hong Kong 0.39 peratus.

Terdapat sekitar 13,200 pegawai polis, termasuk NSF, dalam pasukan polis secara keseluruhan.

Encik Shanmugam berkata terdapat beban besar ke atas pegawai polis.

"Keprihatinan saya ialah terdapat had terhadap berapa banyak tugas yang boleh pegawai kami lakukan dengan beban kerja yang bertambah, jangkaan yang meningkat tetapi tanpa peningkatan bersekadar dalam tenaga manusia," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg