Pengeluar minuman dapat mengehadkan kesan kos peralihan ke skim kembalikan bekas minuman (BCRS), dengan bayaran pengeluar kekal di bawah lima sen bagi kebanyakan minuman yang dijual di Singapura.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga “sedang meneroka cara membantu pengeluar kecil supaya dapat membuat peralihan lebih lancar” ke skim ini, tulis Dr Janil dalam satu hantaran Facebook pada 15 Januari.
Kenyataan beliau dikeluarkan di tengah-tengah kebimbangan mengenai kos pematuhan skim kitar semula, yang menurut pengeluar kecil kemungkinan besar perlu ditanggung pengguna.
Menurut satu laporan baru-baru ini, pengimport dan peruncit kecil mengutarakan kebimbangan mengenai kos tambahan bagi pendaftaran produk dan langkah melekatkan label baru yang diluluskan BCRS, yang berpotensi menyebabkan kenaikan harga.
Mereka menganggarkan harga minuman botol dan tin di Singapura boleh meningkat antara 25 sen dengan 60 sen.
Di bawah skim yang bakal diperkenal itu, pengguna akan membayar deposit tambahan 10 sen bagi minuman dalam botol dan tin bersaiz antara 150 mililiter dengan 3 liter.
Namun, mereka akan menerima bayaran balik penuh deposit tersebut apabila mengembalikan bekas kosong dengan tanda deposit BCRS di tempat pemulangan yang ditetapkan di serata negara.
Menurut laman web BCRS, antara bayaran yang dikenakan kepada pengeluar minuman termasuk bayaran pendaftaran sekali sebanyak $500, dengan tambahan $5 untuk setiap produk yang didaftarkan.
Terdapat juga bayaran pengeluar bagi setiap unit, iaitu sebanyak 3.1 sen bagi setiap bekas aluminium dan 3.7 sen bagi setiap bekas plastik.
Menurut Dr Janil, pemerintah mengakui skim itu memberi kesan berbeza kepada pemain industri, bergantung kepada cara produk diproses dan diedarkan ke pasaran, serta jumlah keseluruhan pengeluaran atau import.
“Kami sedar tentang cabaran logistik dan lain-lain yang dihadapi oleh sesetengah pengimport dan pengeluar minuman dengan jumlah pengeluaran lebih kecil,” kata Dr Janil.
Bagi menangani cabaran tersebut, pengendali skim, BCRS Limited telah mengadakan perbincangan dengan pengeluar terjejas bagi meneroka cara lebih praktikal dan fleksibel untuk memenuhi keperluan skim itu, tambah beliau.
Ia akan bermula pada 1 April, dengan tempoh peralihan dilanjutkan enam bulan sehingga 30 September susulan maklum balas daripada pihak berkepentingan.
Ini bermakna, walaupun skim bermula secara rasmi pada April, kebanyakan bekas minuman yang layak untuk menerima bayaran balik deposit sebanyak 10 sen dijangka hanya akan berada di rak-rak kedai hampir pada penghujung tempoh peralihan tersebut.
Skim itu telah ditangguh beberapa kali.
Pada 2020, NEA berkata skim kembalikan bekas minuman itu akan dilaksanakan menjelang 2022.
Agensi itu seterusnya mencadangkan agar skim tersebut dimulakan pada sekitar pertengahan 2024.
Pada Julai 2024, ia ditangguh sekali lagi sehingga April 2026 atas permintaan pengeluar minuman, kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat penyesuaian menyusuli perubahan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg