Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim label khasiat baru bagi minuman manis diperkenal 30 Disember 2022: MOH

Dec 30, 2021 | 10:10 PM
Foto FAIL
Foto FAIL -

MULAI 30 Disember 2022, pengguna boleh memeriksa dengan mudah nilai khasiat minuman prabungkus dan yang dijual daripada mesin dispenser minuman automatik memandangkan ketetapan label yang bertujuan mengurangkan pengambilan gula warga Singapura diperkenalkan.

Minuman ringan, jus buah-buahan dan minuman berjus, susu dan minuman tairu serta minuman berserbuk segera adalah antara produk yang akan menerima penilaian 'Nutri-Grade' dengan gred antara A dengan D, dengan D disifatkan sebagai paling tidak sihat, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (30 Disember).

Minuman ini perlu dilekapkan dengan label khasiat yang menjelaskan tentang nilai tenaga dan kandungan protein, karbohidrat, lemak, kadar keseluruhan gula dan lemak tepu.

Peruncit juga dilarang mengiklankan minuman gred D di semua platform media. Minuman ini hanya boleh diiklankan di tempat jualan seperti di dalam kedai dan bukan di mana-mana tempat lain.

Minuman gred C atau D juga perlu dilekapkan dengan tanda Nutri-Grade di bahagian depan kotak, tin atau botol secara jelas jika dijual dalam talian, di mesin swalayan atau daripada dispenser.

MOH berkata perubahan ini diperkenalkan untuk membantu pengguna mengenal pasti minuman yang lebih tinggi kandungan gula dan lemak tepunya lantas membuat pilihan lebih berpengetahuan dan lebih sihat; mengurangkan pengaruh pengiklanan terhadap pilihan pelanggan; dan menggalak rumusan semula industri.

Langkah memperkenal ketetapan baru ini mula diumumkan oleh MOH pada Oktober 2019.

Dalam membuat keputusan, MOH berkata ia mengambil kira maklum balas orang awam, industri dan pemegang taruh pakar serta menyemak bukti luar negara dan setempat yang sedia ada.

MOH berkata pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan risiko obesiti dan kencing manis yang bertambah serta tiada keperluan berkhasiat bagi sebarang pengambilan gula dalam diet seorang individu, jelas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

MOH juga menambah warga Singapura mengambil secara purata 60 gram atau 12 sudu teh gula setiap hari. Lebih separuh gula datang daripada minuman, di mana 64 peratus daripadanya merupakan minuman prabungkus, tambahnya.

Ketetapan ini diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada Khamis dan akan berkuatkuasa 12 bulan selepas itu.

MOH berkata ini akan memberikan industri minuman lebih banyak masa untuk mematuhi ketetapan dan mengusahakan rumusan semula produk mereka bagi menambah rangkaian dan kepelbagaian pilihan lebih sihat buat warga Singapura.

Jika mereka tidak patuh pada ketetapan baru ini, mereka boleh didenda tidak melebihi $1,000, sejurus ketetapan ini berkuatkuasa. Dalam kes kesalahan kedua atau lanjutan selepas itu, dendanya boleh meningkat hingga $2,000.

Mengulas mengenai perkara ini di Facebook, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata warga Singapura mengambil sekurang-kurangnya 12 sudu teh atau 60 gram gula setiap hari.

"Ini melebihi apa yang kita perlukan dan menurut WHO dan ramai doktor, kita tidak begitu perlukan gula dalam diet kita. Seperti yang kita ketahui, pengambilan berlebihan gula membawa pada penyakit kencing manis, penyakit yang sangat serius dan menyakitkan.

"Justeru, gula sebenarnya kebanyakan masanya hanyalah untuk keseronokan. Saya harus mengaku bahawa saya juga sukakan manisan. Dari tahun ke tahun, saya gigih mencuba untuk mengurangkan pengambilan gula saya. Saya membeli hanya Kopi-O Kosong dan hanya mengambil minuman tin bebas gula," catatnya.

Encik Ong berkata undang-undang dan ketetapan boleh membantu kita mengurangkan pengambilan gula juga. Hari ini, lebih separuh pengambilan harian gula kita datang daripada minuman termasuk minuman prabungkus.

Secara peribadi, Encik Ong akan terus mengurangkan pengambilan gulanya.

"Kelemahan saya adalah durian dan manisan pencuci mulut. Kesederhanaan masih kunci dan dengan mengambil manisan ini secara berkurangan mungkin menjadi azam tahun baru 2022 saya," jelasnya.

--

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg