Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim penerbangan mampan SG-NZ dikaji

Apr 21, 2022 | 5:30 AM
LALUAN HIJAU: Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern (paling kiri), dan Menteri Pengangkutan Singapura, Encik S. Iswaran (paling kanan), menghadiri acara pemeteraian memorandum pengaturan mengenai penerbangan mampan, yang ditandatangani Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Singapura, Cik Jo Tyndall (dua dari kiri), dan Pengarah Besar Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Han Kok Juan, di Jewel Lapangan Terbang Changi semalam. - Foto BH oleh KEVIN LIM
LALUAN HIJAU: Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern (paling kiri), dan Menteri Pengangkutan Singapura, Encik S. Iswaran (paling kanan), menghadiri acara pemeteraian memorandum pengaturan mengenai penerbangan mampan, yang ditandatangani Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Singapura, Cik Jo Tyndall (dua dari kiri), dan Pengarah Besar Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Han Kok Juan, di Jewel Lapangan Terbang Changi semalam. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

PENERBANGAN antara Singapura dan New Zealand melalui pesawat menggunakan bahan api mampan sedang dikaji di bawah satu "skim laluan hijau" yang baru.

Kedua-dua negara akan mempertimbangkan skala, kos dan butiran teknikal untuk membangunkan laluan sedemikian bagi menggalakkan penumpang mengambil penerbangan sedemikian secara beransur.

Ini merupakan antara inisiatif di bawah memorandum pengaturan mengenai penerbangan mampan yang ditandatangani kedua-dua negara semalam.

Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern, dan Menteri Pengangkutan Singapura, Encik S. Iswaran, menyaksikan pemeteraian itu di Jewel Lapangan Terbang Changi.

Cik Ardern berada di Singapura sejak Isnin lalu bagi lawatan tiga hari. Ini merupakan lawatan pertamanya ke luar negara sejak bermulanya pandemik Covid-19.

Singapura dan New Zealand berkata dalam satu kenyataan bersama mengenai pengaturan itu bahawa mereka akan bekerjasama dalam empat bidang utama - dasar dan kawal selia; pembangunan industri; perancangan dan penyediaan infrastruktur masa depan; serta transformasi tenaga kerja.

Kedua-dua negara akan bekerjasama untuk mempertingkat daya maju bahan api penerbangan yang mampan.

Mereka juga akan mengkaji pembangunan bahan api mampan lain, seperti hidrogen, serta rantaian bekalan berkaitannya di rantau Asia-Pasifik.

Pengaturan itu antara inisiatif pertama di bawah Tunggak Perubahan Iklim dan Ekonomi Hijau yang baru di bawah Kerjasama Dipertingkat Singapura-New Zealand yang sedia ada.

Menjelaskan keperluan bekerjasama dalam kemampanan penerbangan, Encik Iswaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan, berkata pelepasan karbon oleh sektor penerbangan global boleh mencapai tahap dua kali ganda menjelang 2050 berbanding paras 2019.

"Ini jelas tidak berdaya tahan untuk sektor ini, mahupun untuk pelbagai pihak berkepentingan yang prihatin tentang iklim," ujarnya.

Ekonomi kecil yang terbuka seperti Singapura dan New Zealand juga tidak mampu menyederhanakan permintaan perjalanan udara untuk mengurangkan pelepasan, tambahnya.

Alternatif rendah karbon seperti bahan api penerbangan yang mampan, adalah mahal dan jumlah global adalah rendah disebabkan laluan dan bahan mentah yang terhad.

Justeru, Singapura perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan merentasi industri dan merentasi sempadan negara untuk menangani cabaran ini, tambahnya.

Encik Iswaran juga berkata pengaturan baru itu boleh menjadi pemangkin kepada lebih banyak negara yang sehaluan untuk bekerjasama dalam isu kemampanan penerbangan.

Cik Ardern berkata pengaturan itu merupakan satu pengakuan bahawa penerbangan tidak boleh kembali beroperasi seperti biasa dalam dunia pasca-Covid-19.

Beliau menambah inisiatif seperti pengaturan penerbangan mampan akan meletakkan asas untuk matlamat jangka panjang pengurangan karbon dan kemampanan alam sekitar merentasi ekonomi kedua-dua negara.

"Perubahan iklim bagi kededua negara kita mewakili krisis kewujudan, yang mesti kita tangani," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg