TATKALA di menengah empat pada 2019, di mana Encik Dhia Luthfi Mohammad Noor dikehendaki menduduki Peperiksaan Sijil Awam Pendidikan (GCE) peringkat 'O', beliau membuat keputusan berubah dan memberi tumpuan sepenuhnya pada pelajarannya.
Menurut Encik Dhia Luthfi, kini 18 tahun, penuntut jurusan diploma dalam rekaan di Politeknik Ngee Ann, beliau dahulu jenis pelajar yang tidak mengulang kaji pelajaran dan suka belajar pada masa-masa terakhir sebelum peperiksaan semasa di sekolah menengah.
Namun, bekas pelajar dari Sekolah Menengah Bowen ini tersentak apabila beliau gagal dan mendapat gred E8 bagi subjek Matematik bagi peperiksaan sekolah hujung tahun di peringkat menengah tiga.
Kegagalan itu membuat beliau sedar bahawa beliau akan sukar melanjutkan pengajian di kursus pilihannya di politeknik jika beliau terus lalai dalam pelajarannya.
Justeru, mulai awal tahun menengah empat, Encik Dhia Luthfi memastikan beliau mengulang kaji semula subjek yang dipelajari di sekolah pada setiap minggu dan melakukan kertas peperiksaan peringkat GCE 'O' siri 10 tahun (10 Year Series).
Di samping itu, Encik Dhia Luthfi turut mendapat dorongan dan sokongan dari guru dan teman-temannya dari kelas Skim Tuisyen Mendaki (MTS).
Hasil kerja keras, bimbingan guru sekolah dan guru tuisyen MTS, beliau berjaya meraih keputusan L1R5 (Bahasa Inggeris dan 5 subjek relevan) cemerlang dengan tujuh mata bagi peperiksaan GCE peringkat 'O'.
Beliau mendapat gred A2 bagi Matematik untuk peperiksaan GCE peringkat 'O', satu peningkatan daripada gred C6 semasa peperiksaan sekolah SA2 (Penilaian Semester 2).
Gred Bahasa Inggeris beliau juga bertambah baik dengan gred A1 untuk peperiksaan GCE peringkat 'O' berbanding gred B4 semasa peperiksaan sekolah SA2.
Mengulas tentang kelas MTS, Encik Dhia Luthfi berkata:
"Saya berasa lebih selesa belajar di kelas tuisyen Mendaki kerana pelajarnya kurang daripada 10 orang dan ini memudahkan saya bertanya. Guru juga boleh memberi lebih perhatian pada setiap pelajar."
Katanya lagi, guru tuisyen Mendaki juga kreatif menerapkan permainan mudah tetapi menarik semasa mengajar subjek Bahasa Inggeris atau Matematik supaya kelas lebih menyeronokkan.
Encik Dhia Luthfi telah menyertai kelas MTS bahasa Inggeris dan Matematik sejak beliau berada di darjah enam dan telah meneruskan kelas tuisyen ini sehingga peringkat menengah empat.
Beliau menghadiri kelas tuisyen Mendaki di Pusat MTS di Sekolah Menengah Naval Base pada 2019.
Menurut Encik Dhia Luthfi lagi, beliau bersama kawan-kawan dan guru tuisyen MTS mereka juga telah menubuhkan satu kumpulan 'chat group' di luar bilik darjah, di mana, guru mereka akan memberi kata-kata perangsang dan membantu mereka jika mereka mempunyai soalan berkenaan pelajaran.
Seorang lagi pelajar yang telah melihat gred subjek Bahasa Inggeris dan Matematik yang lebih baik ialah Muhammad Azri Azmi, 14 tahun, pelajar menengah dua aliran ekspres daripada Sekolah Menengah Marsiling.
Muhammad Azri telah menyertai Program Tuisyen Kerjasama (CTP) bagi subjek Bahasa Inggeris dan Matematik di Jalan Kukoh selama tiga tahun sejak usianya sembilan tahun.
Dia kemudian menyertai kelas MTS di Pusat MTS di Sekolah Rendah River Valley pada 2019.
Program CTP diperkenalkan sebagai sebahagian gabungan antara Badan Bantu Diri (SHG) yang lain.
Skim ini dianjurkan bersama Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Serani (EA), Persatuan Pembangunan India Singapura (Sinda) dan Yayasan Mendaki dengan matlamat untuk meningkat prestasi akademik pelajar dalam bahasa Inggeris, matematik dan sains.
Pusat CTP menawarkan tuisyen berkualiti dan berpatutan kepada pelajar sekolah rendah berbilang bangsa dan agama.
Menurut Muhammad Azri, melalui kelas tuisyen Mendaki, dia lebih selesa tanya soalan kepada gurunya kerana jumlah pelajar yang kecil.
Gurunya juga meluangkan masa untuk menerangkan tugasan kelas selepas dia dan teman-teman melakukannya di dalam kelas.
Melalui kelas CTP dan MTS, Muhammad Azri berjaya lulus subjek Matematik untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Kini, Muhammad Azri mengikuti kelas MTS buat peringkat sekolah menengah dan menghadiri kelas tersebut di Pusat MTS di Sekolah Menengah Marsiling.
Tahun lalu, Muhammad Azri mendapati gred Matematik yang lebih baik daripada gred C6 ke A2; dan gred Bahasa Inggeris beliau juga bertambah baik daripada gred B4 kepada A1 bagi peperiksaan sekolah pertengahan tahun.
Lantaran itu, anak sulung dua beradik itu kini lebih bersemangat belajar dan mengulang kaji pelajarannya.
Skim Tuisyen Mendaki, diterajui badan bantu diri Yayasan Mendaki menyediakan tuisyen kepada masyarakat awam.
MTS direka bentuk untuk memperbaiki keputusan pelajar dalam peperiksaan sekolah dan nasional melalui tuisyen yang berkualiti dan berpatutan.
Skim ini dibuka kepada semua pelajar Muslim di peringkat sekolah rendah dan menengah.
MTS sejajar dengan kurikulum Kementerian Pendidikan dan menyediakan aktiviti pembangunan tambahan.
Ia kini mempunyai 44 Pusat MTS dan 35 CTP.
"Saya berasa lebih selesa belajar di kelas tuisyen Mendaki kerana pelajarnya kurang daripada 10 orang dan ini memudahkan saya bertanya. Guru juga boleh memberi lebih perhatian pada setiap pelajar." - Encik Dhia Luthfi Mohammad Noor, pelajar jurusan diploma dalam rekaan di Politeknik Ngee Ann, yang sebelum ini menyertai Skim Tuisyen Mendaki dari peringkat darjah enam sehingga menengah empat.
Sekilas
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg