Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkypark Sentosa lancar gelongsor kering tertinggi Asia Tenggara
Skypark Sentosa lancar gelongsor kering tertinggi Asia Tenggara
Skypark Sentosa lancar gelongsor kering tertinggi Asia Tenggara
Bermula 7 Jun, Skypark Sentosa bakal memperkenalkan dua gelongsor baharu setinggi 44 meter – bersamaan bangunan 14 tingkat – yang dipercayai gelongsor kering tertinggi di Asia Tenggara.
Hasil kerjasama antara platform tempahan perjalanan, Klook dengan Skypark Sentosa, tarikan yang dinamakan Skyslides by Klook ini menawarkan dua gelongsor lingkaran tertutup yang mendebarkan iaitu Skydrop dan The Big Klook Slide.
Uniknya, struktur gelongsor tersebut dibina melilit menara lompat ‘bungee’ sedia ada, sekali gus mengintegrasikan tarikan baharu itu dengan kemudahan sedia ada taman tersebut.
Skydrop juga tersenarai sebagai gelongsor darat tertinggi di dunia, hasil reka bentuk dan profil laluannya yang tersendiri.
Menurut Skypark Sentosa, pengiktirafan itu disahkan berdasarkan spesifikasi pengeluar serta perbandingan dengan tarikan serupa di peringkat sejagat.
Reka bentuk ‘U-drop’ yang hampir menegak memberikan rasa seakan jatuh (freefall) yang mendebarkan sejak saat pertama.
Berbeza dengan itu, The Big Klook Slide menawarkan pengalaman lebih santai yang sesuai untuk keluarga.
Pengunjung boleh memilih antara enam tema audiovisual seperti ‘Disco’, ‘Jungle’, atau ‘Space’. Lampu LED dan muzik yang mengiringi perjalanan bukan sahaja mencipta pengalaman deria yang unik, malah corak serta kelantangannya yang berubah-ubah di setiap bahagian gelongsor menjadikan setiap detik begitu mengasyikkan.
Berbeza dengan Skydrop yang tertutup sepenuhnya, mereka yang menggunakan The Big Klook Slide dapat menikmati pemandangan langit Sentosa menerusi tingkap.
Setiap gelongsor hanya memuatkan seorang penunggang pada satu masa, dan setiap perjalanan mengambil masa kira-kira 30 saat. Penunggang akan duduk di dalam ‘beg’ gelongsor sambil berpegang pada talinya semasa menuruni gelongsor.
Skyslides by Klook merupakan tambahan terkini kepada taman yang terkenal dengan aktiviti memacu adrenalin seperti lompat ‘bungee’ dan buai gergasi yang meluncurkan penunggang pada kelajuan sehingga 120 kilometer sejam. Ia juga merupakan tarikan berjenama pertama Klook.
Ketua Pegawai Eksekutif ZJ Adventures, Encik Zishan Amir, berkata gelongsor baharu itu akan membawa lebih inklusiviti kepada taman tersebut. ZJ Adventures merupakan syarikat berasas Singapura yang memiliki dan mengendalikan Skypark Sentosa.
“Selain memperluas pilihan tarikan kami, gelongsor ini turut menggalakkan lebih banyak masa berharga bersama keluarga dan rakan, mewujudkan peluang untuk keseronokan spontan, jalinan hubungan dan kunjungan berulang,” katanya.
Pelancaran itu bertepatan dengan pembukaan semula Skypark Sentosa selepas menjalani pengubahsuaian besar.
