Topik diikuti
Pergi ke BHkuSLA: Tapak Punggol East Container Park diperlukan bagi pembangunan kediaman
Penguasa Tanah Singapura (SLA) berkata tempoh sewaan milik negara di 50 Punggol East Road perlu dikosongkan dan dikembalikan menjelang 31 Disember 2026.
Menyatakan demikian sebagai respons kepada pertanyaan Berita Harian (BH), SLA berkata tapak tersebut diperlukan bagi pembangunan semula kediaman pada masa depan.
Respons itu diberi menyusuli satu laporan akhbar ini pada 2 September mengenai aduan beberapa pengendali makanan dan minuman (F&B) Punggol East Container Park di alamat tersebut yang mendakwa mereka telah diminta mengosongkan premis masing-masing menjelang 31 Oktober – dua bulan sebelum tempoh penyewaan itu berakhir.
“Tempoh penyewaan tidak boleh dilanjutkan kerana tapak tersebut diperlukan bagi pembangunan semula kediaman pada masa depan,” kata jurucakap itu.
Jurucakap itu berkata tapak tersebut telah disewakan kepada City Sprouts sejak 1 Oktober 2022 dengan tempoh penyewaannya berakhir pada 31 Disember 2026.
Dalam kenyataan itu SLA menambah City Sprouts kini sedang membuat persiapan untuk mengosongkan dan memulangkan tapak tersebut menjelang 31 Disember.
Antara yang terjejas ialah restoran The Smok Hous dan kedai makanan Filipina, Tara Na by Easy Eatz SG.
Pemilik Tara Na, Cik Nurnisa Jonson, berkata perjanjiannya berlangsung dari Februari hingga Disember 2026.
“Apabila kami dapat tahu yang kami perlu berpindah pada akhir Oktober, kami rasa semuanya berlaku terlalu cepat,” katanya semasa dihubungi BH.
Beliau telah mendapatkan lokasi baru di Punggol Golf Course bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan menjelang musim perayaan hujung tahun.
Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, yang dihubungi pula berkata beliau tidak menjangkakan perlu meninggalkan premis pada akhir Oktober.
Berdasarkan perjanjian penyewaan yang dilihat BH, tempoh sewa The Smok Hous bermula pada 1 Disember 2025 dan berakhir pada 31 Disember 2026.
Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya tidak dapat mendapatkan premis baru yang menawarkan ruang dan kadar sewa setanding dengan lokasi sekarang.
“Saya sangat bimbang jika tidak dapat mencari ruang lain yang dekat dengan kawasan ini, dengan kadar sewa dan ruang yang serupa,” katanya.
Encik Isrudy turut mempersoalkan keputusan menggunakan tapak tersebut bagi pembangunan perumahan kerana, pada pandangannya, masih terdapat tanah lain yang boleh digunakan di Punggol.
“Saya rasa Punggol mempunyai tanah yang mencukupi, jadi mengapa tapak ini perlu digunakan untuk pembangunan perumahan? Bagi saya, agak sayang untuk kehilangan ruang seperti ini,” tambahnya.
BH difahamkan SLA bahawa City Sprouts merupakan penyewa utama tapak tersebut, manakala dokumen penyewaan The Smok Hous menyenaraikan syarikat D’Heart sebagai tuan tanahnya.
BH telah menghubungi City Sprouts dan D’Heart bagi mendapatkan penjelasan mengenai tarikh pengosongan serta tempoh penyewaan peniaga, namun belum menerima maklum balas.
Menurut Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), tapak tersebut diperuntukkan bagi kegunaan “kediaman dengan komersial di tingkat satu”.
