Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: Dalam dunia tidak menentu, rakyat mesti saling bantu
SM Lee: Dalam dunia tidak menentu, rakyat mesti saling bantu
Dunia kini berada dalam keadaan tidak menentu dengan pelbagai masalah, namun Singapura terus memastikan keselamatan rakyatnya serta memberi bantuan apabila mereka memerlukannya, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong pada 13 September.
Beliau berkata pemerintah akan membantu rakyat menangani kesukaran yang mereka hadapi, sambil menggalakkan penduduk melakukan yang terbaik untuk membantu diri sendiri dan satu sama lain demi terus memajukan Singapura.
Encik Lee berkata demikian kepada sekitar 200 penduduk Ang Mo Kio dan Hougang yang menyertai acara jalan kaki masyarakat sejauh 7.5 kilometer di sekitar kejiranan mereka. Laluan itu melalui 14 pusat Rangkaian Penduduk (RN). Encik Lee ialah Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio.
Dikenali sebagai Go Connect, acara itu merupakan sebahagian daripada sambutan tahunan Hari Ci Yuan anjuran Kelab Masyarakat Ci Yuan. Kebanyakan peserta berusia antara 60-an hingga 80-an tahun.
Berucap dalam bahasa Mandarin dan Inggeris menjelang akhir acara, Encik Lee berkata kegiatan itu bukan sahaja menggalakkan senaman, malah memberi peluang kepada peserta berinteraksi dan membina semangat kemasyarakatan.
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Encik Darryl David, yang turut menghadiri acara itu, berkata laluan tersebut direka supaya sesiapa sahaja boleh menyertainya dari tempat permulaan yang sesuai dan mudah bagi mereka.
“Kami cuba menjadikan sambutan tahun ini lebih mudah disertai dan mencapai lebih ramai penduduk,” katanya.
Lebih 1,000 penduduk hadir di Kelab Masyarakat (CC) Ci Yuan bagi acara utama Ci Yuan Day bertemakan “Meraikan Masyarakat yang Prihatin dan Inklusif”.
Penduduk menyertai permainan yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai golongan kurang upaya. Di sebuah gerai, peserta cuba mengasingkan makanan yang sudah luput sambil memakai cermin mata yang mengaburkan penglihatan, bagi merasai cabaran hidup dengan masalah penglihatan.
Gerai lain mencabar peserta menyampaikan pesanan makanan tanpa bercakap, bagi memahami halangan yang dihadapi individu yang mengalami kesukaran pertuturan atau pendengaran.
Encik Lee berkata beliau gembira melihat golongan muda dan tua berkumpul dalam acara itu.
“Itulah yang menjadikan sesebuah masyarakat sebuah komuniti,” katanya.
Di bawah program tahunan GRC tersebut, Bag-to-School, seramai 79 kanak-kanak menerima wang mainan bernilai $50 untuk ‘membeli’ alat tulis di pasar raya simulasi.
Mereka memperoleh ‘wang’ itu melalui gerai permainan yang dikendalikan pelajar Sekolah Menengah Bowen dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College Central, sebelum menggunakannya untuk membuat ‘pembelian’ dengan bimbingan ibu bapa.
Aktiviti itu bertujuan mengajar celik kewangan dan kemahiran membuat keputusan kepada murid Tadika 2 serta sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan tersebut.
Program itu dilancarkan pada 2018 bagi membantu kanak-kanak Tadika 2 membuat persiapan bagi memasuki Darjah 1, dengan menyediakan beg sekolah yang dipenuhi keperluan asas. Sejak 2025, program itu diperluas kepada murid sekolah rendah yang sedang membuat persiapan untuk tahun persekolahan baharu.
Kanak-kanak dalam program itu terus menerima beg sekolah serta set LEGO® yang bertujuan mengukuhkan kaitan antara pembelajaran dengan permainan.
Encik Lee turut merujuk kepada dapatan terkini Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, yang meletakkan pelajar berusia 15 tahun di Singapura di tangga pertama dunia bagi bacaan, serta kedua bagi matematik dan sains.
“Kami akan memastikan anda mempunyai peluang untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Bowen, Ng Leyi, yang merancang dan mengendalikan gerai permainan untuk kanak-kanak program Bag-to-School, berkata pengalaman itu menyeronokkan dan memuaskan.
Pelajar Menengah 3 itu bekerjasama dengan tiga pelajar lain untuk menyediakan gerai yang mengajar kanak-kanak mengenal pasti barangan yang boleh dikitar semula, membentuk perkataan menggunakan huruf serta memadankan pekerjaan dengan huraian tugas masing-masing.
Ng merupakan sebahagian daripada Program Bimbingan Ci Yuan, yang memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah atas, ITE, maktab rendah dan politeknik belajar daripada mentor melalui bengkel, ceramah kepimpinan serta penganjuran acara kemasyarakatan.
Pelajar berusia 15 tahun itu juga menjadi sukarelawan di Pusat Jagaan Pelajar Khas AWWA menerusi kerjasama dengan sekolahnya, yang memperkenalkan kegiatan sukan yang diubah suai seperti ‘badminton belon’ kepada pelajar berkeperluan khas.
“Menjadi sukarelawan sangat bermakna dan menyeronokkan. Anda dapat bertemu ramai orang baharu daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
