Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Ekon S’pura, global lebih lemah setelah tarif AS

S’pura perlu kekalkan hubungan baik dalam Asean; rakyat bekerjasama dengan pemerintah demi pastikan pertumbuhan negara
Dec 6, 2025 | 7:56 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tiga dari kanan), yang juga penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Ang Mo Kio, dan Anggota Parlimen (AP), Cik Nadia Ahmad Samdin (dua dari kanan) berinteraksi dengan penduduk sewaktu majlis pembukaan semula Kelab Masyarakat Cheng San pada 6 Disember.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tiga dari kanan), yang juga penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Ang Mo Kio, dan Anggota Parlimen (AP), Cik Nadia Ahmad Samdin (dua dari kanan) berinteraksi dengan penduduk sewaktu majlis pembukaan semula Kelab Masyarakat Cheng San pada 6 Disember. - Foto ST

Walaupun ekonomi global tidak merudum hingga mengalami kemelesetan selepas tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) pada April, hakikatnya, Singapura, seperti banyak negara lain, berada dalam kedudukan yang lebih buruk berbanding sebelumnya.

Keadaan ini akan berlarutan dan menyebabkan negara kecil seperti Singapura dalam keadaan paling mudah terjejas, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong pada 6 Disember.

Dalam ucapan yang dibuatnya sewaktu majlis pembukaan semula Kelab Masyarakat Cheng San, Encik Lee berkata keadaan ini bermakna bahawa Singapura akan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan, kemajuan, dan kemakmuran yang berkurangan dalam dunia yang semakin bergolak.

Encik Lee akui bahawa walaupun ekonomi Singapura diramal untuk berkembang dengan lebih baik, sejujurnya tidak ada yang pasti.

Ramalan pertumbuhan ekonomi negara pada 2025 telah dinaikkan kepada sekitar 4 peratus, berbanding lingkungan antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus yang diramalkan pada Ogos.

Ekonomi negara diramalkan tumbuh antara 1 peratus hingga 3 peratus pada 2026.

Justeru, hal ini “tidak boleh diambil sambil lewa”, tegas beliau.

Singapura merupakan antara negara yang dikenakan tarif sebanyak 10 peratus, iaitu cukai ke atas barangan import.

Mengulas lanjut, Encik Lee berkata AS kini mengambil sikap yang sangat berbeza terhadap perdagangan dan pelaburan antarabangsa, serta terhadap hubungannya dengan negara lain.

“Ia tidak lagi percaya akan kerjasama yang saling menguntungkan atau peraturan yang dikenakan atas negara besar dan kecil.

“Ia lebih gemar berurusan secara dua pihak – AS dengan setiap negara secara individu – dan berunding secara dua pihak.

“Ia menggunakan kekuatannya, kerana ia lebih besar daripada kebanyakan negara - tentu ekonominya adalah yang terbesar di dunia - untuk mendapatkan perjanjian yang lebih baik baginya,” jelas Encik Lee.

Beliau menambah bahawa AS percaya bahawa dengan mengenakan tarif, ia boleh mengurangkan defisit perdagangan dan mendapat manfaat tambahan daripada negara lain.

“Dan dalam dunia seperti ini, semua pihak akan rugi. Tetapi negara-negara kecil, saya rasa adalah yang paling mudah terjejas — kita yang paling banyak mengalami kerugian,” katanya.

Di peringkat serantau pula, Encik Lee berkata bahawa hubungan dengan negara jiran secara umunya stabil, baik dan mesra.

Beliau merujuk kepada Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 pada 4 Disember.

“Rahat itu berjalan dengan baik, tetapi antara jiran, tetap sentiasa ada isu.

“Dengan Malaysia, terdapat isu yang telah lama wujud yang sedang kita usahakan tetapi tidak akan diselesaikan dengan mudah.

“Dengan Indonesia, hubungan adalah stabil, tetapi kita perlu terus memeliharanya,” ujar Encik Lee.

Menurutnya, dalam kalangan Asean dan negara jiran, hubungan perlu terus dijaga kerana jika ia tersasar dalam dunia yang sudah bergelora, ia merupakan “berita buruk”.

Di dalam negara pula, masyarakat digesa agar bekerjasama dengan pemerintah.

“Ini supaya kita boleh saling menjaga satu sama lain dengan lebih baik.

“Pastikan ekonomi semakin tumbuh, terus meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan melatih mereka semula, terus memperbaiki hubungan dengan negara jiran dan memastikan Singapura selamat.

“Dan di sini dalam kejiranan kita sendiri, membina masyarakat tempatan yang kukuh, menyediakan kemudahan baik dan memperbaiki kehidupan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg