ASTANA (Kazakhstan): Singapura ingin memanfaatkan semangat muhibah yang dinikmatinya di Kazakhstan dan mempererat hubungan dalam pelbagai bidang, daripada perniagaan hingga kepada ketersambungan, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, ketika mengakhiri lawatan pertamanya ke negara Asia Tengah itu.

Encik Lee berkata pada 27 Ogos bahawa hubungan Singapura dengan Kazakhstan adalah “hubungan yang amat wajar dipupuk”, dengan syarikat Singapura menunjukkan minat semakin mendalam terhadap negara itu.

Perdagangan dan pelaburan turut meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita menikmati (semangat) muhibah yang meluas,” katanya kepada media Singapura dalam sesi temu bual ringkas di Hotel St. Regis Astana.

Beliau menyatakan bahawa Kazakhstan masih mengingati lawatan pertama Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, pada September 1991 – tiga bulan sebelum negara itu mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Sementara itu, Encik Lee turut melihat ketersambungan sebagai satu bidang yang perlu diperbaiki.

Beliau berkata pihak perniagaan Kazakhstan menganggap ketiadaan penerbangan langsung antara Singapura dengan Astana (ibu kota) atau Almaty (bandar terbesar) sebagai satu halangan kepada hubungan lebih erat.

“Ini adalah sesuatu yang perlu kita teliti, dan kita akan menggalakkan SIA supaya turut meneliti hal itu. Saya berharap akan ada kewajaran perniagaan pada satu ketika nanti,” katanya.

Encik Lee turut melihat industri pelancongan musim sejuk Kazakhstan yang semakin berkembang sebagai satu sumber permintaan baharu. 

Negara itu sedang membangunkan pusat peranginan ski Shymbulak berhampiran Almaty, sejajar dengan persiapannya untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia Musim Sejuk pada 2029.

Warga Singapura amat meminati sukan musim sejuk dan sering melancong ke Jepun, Korea Selatan serta China untuk bermain ski, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa pembangunan lanjut pusat peranginan tersebut dalam beberapa tahun akan datang bakal membawa lebih banyak peluang perniagaan.

Selain aspek ketersambungan, Encik Lee berkata syarikat-syarikat Singapura menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap Kazakhstan, dengan perdagangan dan pelaburan mencatat peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Syarikat Singapura dalam pelbagai sektor – daripada perundangan dan logistik kepada pendidikan serta modal teroka – telah beroperasi di negara itu, kongsi Encik Lee, sambil menambah bahawa PSA International dan Changi Airport Group (CAG) turut hadir di sana.

“Akan terdapat peluang ini apabila Kazakhstan membangunkan ekonominya, dan syarikat kita boleh turut serta dalam proses ini,” tambah Encik Lee.

Kazakhstan merupakan rakan dagang terbesar Singapura di Asia Tengah.

Perdagangan dua hala dalam barangan bernilai $326.6 juta, manakala perdagangan perkhidmatan pula bernilai $159 juta.

Jumlah pelaburan langsung Singapura di Kazakhstan berjumlah $2.1 bilion, dengan 158 syarikat gabungan luar negara Singapura beroperasi di sana.

Menurut Encik Lee, jarak fizikal yang jauh bermakna perdagangan dan pelaburan langsung mungkin tidak akan berskala besar.

“Namun, jika kita bercakap tentang perdagangan perkhidmatan, atau pelaburan, serta menjalankan perniagaan di negara masing-masing, terdapat potensi yang baik,” jelasnya.

Satu lagi bidang kerjasama yang berpotensi ialah Koridor Tengah, laluan yang menghubungkan China, melalui Asia Tengah dan Laut Kaspia, ke Eropah.

Encik Lee berkata laluan itu akan melengkapkan, bukan menggantikan, laluan maritim sedia ada antara Asia dengan Eropah, memandangkan perbezaan besar dari segi kos dan jumlah barangan yang terlibat.