Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: S’pura perlu terus cipta semula diri hadapi dunia tidak menentu
Dasar harus sentiasa dinilai, disesuaikan jika tidak capai hasil yang diharap
ASTANA (Kazakhstan): Singapura perlu mencipta semula dirinya dari semasa ke semasa apabila keadaan berubah, dan mesti terus menyesuaikan diri ketika ia mengharungi persekitaran global yang semakin tidak menentu, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong pada 27 Ogos.
Kemajuan negara, katanya, bukanlah garis lurus, dan dasar-dasar kadangkala terpaksa disesuaikan apabila ia tidak berfungsi seperti yang dirancangkan, katanya dalam kuliah di Universiti Nazarbayev di ibu kota Kazakhstan, di mana beliau dianugerahkan Profesor Kehormat.
“Kami telah berulang kali terpaksa mencipta semula diri kami, untuk mengatasi halangan dan keadaan yang berubah, dan meneruskan perjalanan kami ke hadapan.
“Dalam dunia yang tidak menentu dan bermasalah sekarang, kami perlu bertindak dengan kepintaran dan keazaman yang sama,” kata Encik Lee.
Encik Lee menyatakan bahawa Singapura dan Kazakhstan menghadapi keadaan yang berbeza dan mungkin membuat pilihan dasar yang berbeza.
Namun, beliau berkata pengajaran yang lebih luas ialah keperluan untuk membina sistem yang mampu “terus menyesuaikan diri dan menyesuaikan semula”.
Ini perlu bersandar pada asas yang kukuh seperti kapasiti negara, disiplin pasaran dan dasar inklusif, yang membolehkan pelarasan apabila keadaan berubah atau dasar gagal berfungsi seperti yang dimaksudkan.
“Itulah yang terpaksa dilakukan oleh Singapura, berulang kali,” katanya.
Encik Lee berkata Singapura kini berada di “satu lagi titik perubahan”, selepas mendapat manfaat selama hampir enam dekad sejak kemerdekaan daripada sistem perdagangan global berasaskan peraturan dan usaha meluas ke arah integrasi ekonomi dan kemakmuran bersama.
Beliau berkata di Asia Pasifik, Amerika Syarikat menyediakan keselamatan yang membolehkan negara-negara berkembang secara aman.
China pula memasuki semula ekonomi dunia pada tahun 1980-an dan berkembang pesat dalam rangka kerja yang sama.
Ini, katanya, telah mewujudkan peluang “yang terbaik daripada kedua-dua dunia” untuk negara Asia.
Tetapi persekitaran strategik telah berubah dengan ketara, katanya.
Persaingan kuasa utama kini sengit, dengan Amerika menilai semula pendekatannya terhadap dunia, keselamatan dan daya tahan negara diutamakan berbanding kesejahteraan ekonomi, dan kebergantungan perdagangan dijadikan senjata.
“Multilateralisme semakin merosot,” kata Encik Lee.
“Ini adalah persekitaran yang kurang kondusif untuk negara-negara berkembang dan membangun.”
Berlatarbelakangkan perubahan inilah Singapura memulakan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) untuk memikirkan semula kedudukannya dan merangka hala tuju ke hadapan, kata Encik Lee.
Dilancarkan pada Ogos 2025, semakan itu telah mengumpulkan wakil pemerintah, perniagaan dan kesatuan sekerja untuk merangka strategi ekonomi jangka panjang Singapura.
Cadangan terakhirnya, yang dikeluarkan pada Mei, tertumpu pada memastikan Singapura berdaya saing dan boleh menyesuaikan diri, sambil membina daya tahan yang lebih besar terhadap kejutan global.
Semasa ucapannya, Encik Lee turut menggariskan lima bidang yang mesti ditumpukan oleh Singapura sedang ia menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Pertama, beliau berkata Singapura perlu kekal terbuka dan berpandangan ke luar.
Walaupun negara-negara lebih besar mungkin dapat mempromosikan kemandirian dengan mendirikan halangan perdagangan, ini bukanlah pilihan untuk Singapura.
Inilah sebabnya Singapura menjalin hubungan dengan rakan kongsi bukan tradisional seperti Kazakhstan dan ekonomi Asia Tengah yang lain.
Kedua, beliau berkata Singapura perlu terus menyokong multilateralisme.
Di mana kata sepakat antara semua ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) tidak mungkin dicapai, Encik Lee berkata “gabungan yang bersedia” boleh mengejar kepentingan bersama sambil kekal dalam rangka kerja tersebut.
Ketiga, mengekalkan pendekatan menggabungkan disiplin pasaran dengan negara aktivis.
Ini bermakna pemerintah mewujudkan keadaan untuk perusahaan berkembang maju, melabur secara aktif dalam infrastruktur dan kemahiran, membangunkan keupayaan dan membuka pasaran baharu.
Keempat, Singapura mesti membentuk semula ekonominya “berulang kali”.
Ini termasuk menggalakkan firma untuk menerima pakai kecerdasan buatan (AI) dan mempersiapkan pekerja untuk perubahan dan gangguan yang akan datang.
Ia juga perlu terus melabur dalam bidang yang menjadi kekuatan Singapura, seperti hab penerbangan, pelabuhan kontena dan sektor kewangan.
Akhir sekali, dan yang paling penting, kata Encik Lee, ialah rakyat Singapura perlu kekal bersatu.
Encik Lee berkata masyarakat perlu berwaspada terhadap perpecahan kaum dan agama, pergeseran antara warga lama dengan baharu, dan perpecahan antara kaya dengan miskin.
