Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Teo: Perlu manfaat teknologi untuk tangani ancaman baru keselamatan

Apr 6, 2022 | 5:30 AM
PANTAU TEKNOLOGI: Encik Teo Chee Hean (baris belakang, dua dari kanan) dan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo (tengah), melakukan lawatan ke pameran Kapal Permukaan Tanpa Pemandu di Sidang Puncak TechX diadakan di The Theatre at Mediacorp semalam. - Foto ZAOBAO
PANTAU TEKNOLOGI: Encik Teo Chee Hean (baris belakang, dua dari kanan) dan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo (tengah), melakukan lawatan ke pameran Kapal Permukaan Tanpa Pemandu di Sidang Puncak TechX diadakan di The Theatre at Mediacorp semalam. - Foto ZAOBAO -

PENDEKATAN baru, keupayaan dan kerjasama lebih luas diperlukan untuk memanfaatkan teknologi dengan lebih baik bagi menangani ancaman keselamatan baru, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Encik Teo berkata teknologi telah dapat membantu agensi keselamatan dalam negeri dan agensi penguatkuasaan undang-undang, namun pada masa sama, teknologi juga dieksploitasi pesalah dan penjenayah bagi jenayah mereka.

Oleh itu, beliau berkata pemerintah dan agensi keselamatan dalam negeri perlu mengikuti perkembangan, atau berada di depan, teknologi yang pesat membangun.

Berucap di Sidang Puncak TechX yang diadakan di The Theatre at Mediacorp semalam, Encik Teo berkata pendekatan baru diperlukan untuk menangani jenayah fizikal dan siber, dengan dasar, doktrin, undang-undang dan teknik yang digunakan perlu sedar dan selaras dengan ancaman baru.

"Organisasi jenayah beroperasi di luar undang-undang, oleh itu, mereka tidak terikat dengan undang-undang. Tetapi kami, yang bekerja mengikut undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang, terikat oleh undang-undang.

"Oleh itu, konsep, doktrin dan undang-undang kami perlu berkembang mengikut keadaan yang berubah agar kami boleh menangani ancaman baru ini.

"Kami perlu mempunyai alat undang-undang, dan bukan hanya alat teknologi, untuk menangani ancaman baru ini. Kemudian, kami boleh membangunkan konsep, menggunakan teknologi dan mematahkan kitarannya," kata beliau.

Pada masa sama, Encik Teo berkata garis panduan dan standard yang betul tentang penggunaan teknologi juga perlu diwujudkan untuk menyediakan perlindungan mencukupi dan memelihara kepercayaan dan keyakinan.

Namun, untuk melaksanakan dasar dan standard tersebut, pelaburan juga mesti dibuat untuk membangunkan keupayaan, tambah beliau.

"Ini memerlukan perkongsian teknologi dan pengetahuan untuk menggunakannya secara inovatif dan kreatif, kedua-dua dengan industri dan rakan luar," kata beliau.

Encik Teo menambah bahawa teknologi juga harus dimanfaatkan untuk mempertingkat cara pasukan keselamatan dalam negeri dilatih.

Di Singapura misalnya, pemerintah telah memperkenalkan teknologi latihan bijak bagi latihan tembakan, yang menyediakan analisis masa nyata tentang cengkaman, pernafasan, postur dan penglihatan penembak kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang.

Encik Teo turut menekankan kepentingan tentang kerjasama antarabangsa untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan siber.

Singapura memainkan peranannya di pelbagai platform, seperti di Pertubuhan Hak Cipta Intelektual Sedunia dan Kumpulan Kerja Terbuka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Keselamatan Siber.

"Agensi keselamatan dalam negeri di seluruh dunia memerlukan pendekatan baru, keupayaan dan kerjasama lebih luas supaya dapat memanfaatkan teknologi dengan lebih baik, bukan hanya untuk menangani ancaman hari ini, malah juga bersedia untuk menjangkakan dan menangani cabaran esok.

"Tanpa perkara tersebut, kita akan berada selangkah di belakang mereka yang mahu membahayakan kita, dan cuba mengejar, berbanding terus mendahului mereka," kata Encik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg