DALAM kalangan peniaga, sekitar $500,000 telah dikumpulkan untuk membantu pekerja asing yang telah terjejas teruk oleh pandemik Covid-19, kata Persatuan Syarikat-Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME).
Jumlah tersebut terdiri dari $300,000 yang didermakan 77 perniagaan dan individu dari firma lebih kecil di sekitar Singapura, dan $200,000 dari Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), menurut The Straits Times.
Wang yang terkumpul itu akan disalurkan ke dana bantuan yang diuruskan Pusat Pekerja Asing yang menyediakan bantuan kecemasan dari segi tempat tinggal, makanan dan sokongan kewangan lain kepada pekerja asing yang terperangkap dalam pertikaian gaji atau mereka yang cedera di tempat kerja.
Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam satu pertemuan maya untuk menandakan berakhirnya usaha pengumpulan dana itu berkata:
"Ini adalah projek yang sangat penting, dan kita semua tahu bahawa pekerja asing memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem kita.
"Sebilangan besar warga Singapura menghargai mereka, dan dalam masa ini kita telah melihat bagaimana pemerintah, masyarakat dan organisasi bukan pemerintah bersatu (untuk menyokong mereka)."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg