Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Smith Street di Chinatown akan diberi nafas baru

Aug 19, 2024 | 6:30 PM
Chinatown Food Street, yang dibuka di Smith Street pada 2001 sebagai sebahagian daripada usaha STB untuk menghidupkan semula Chinatown, ditutup pada Oktober 2021 semasa wabak Covid-19.
Chinatown Food Street, yang dibuka di Smith Street pada 2001 sebagai sebahagian daripada usaha STB untuk menghidupkan semula Chinatown, ditutup pada Oktober 2021 semasa wabak Covid-19. - Foto ST

Pengunjung ke Chinatown dalam beberapa tahun akan datang boleh menjangkakan lebih banyak tawaran dan pengalaman bagi kedua-dua penduduk tempatan dan pelancong dengan Smith Street diberi nafas baru, lapor The Straits Times.

Mereka boleh menikmati pelbagai program masyarakat yang lebih menarik dan memberikan pengalaman baru, serta gaya hidup dan beli-belah kreatif, di samping konsep penginapan dan bekerja bersama.

Semua ini sedang warisan budaya dan seni bina kawasan itu terus dipelihara dan diraikan.

Pada 14 Ogos, Penguasa Tanah Singapura (SLA), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) telah menganugerahkan kepada Persatuan Perniagaan Chinatown (CBA) tender untuk membaik pulih dan mengubah rumah kedai dari 11 hingga 37 Smith Street dan kawasan pejalan kaki berdekatan yang terletak di tanah pemerintah.

SLA mengumumkan perkara ini dalam catatannya di Facebook pada hari yang sama.

Projek itu mempunyai jumlah keluasan tanah 34,076 kaki persegi dan anggaran keluasan lantai kasar 33,081 kaki persegi.

CBA akan ditawarkan tempoh pegangan selama lima tahun, yang boleh diperbaharui untuk penggal kedua selama empat tahun, bagi memudahkan perancangan sumber yang lebih baik.

CBA memberitahu The Straits Times bahawa butiran tawaran baru itu akan diumumkan kemudian.

Tender itu, yang dilancarkan pada 30 November 2023, dan ditutup pada 20 Mac, menarik lima pembida, termasuk CBA yang mengemukakan bidaan menang sebanyak $123,000.

Noontalk Media menyerahkan bidaan tertinggi sebanyak $180,000. Bidaan lain ialah $108,174 daripada Benlo Ventures, $68,177 daripada ABR Holdings dan $53,000 daripada IGYM Fitness.

“Cadangan CBA tentang konsep gaya hidup yang berbeza, program pelengkap dan penambahbaikan kepada ruang awam bertujuan untuk mempromosikan lagi warisan Cina tempatan dan mengukuhkan identiti kawasan itu,” kata SLA.

Sebagai sebuah organisasi bukan mencari untung dengan kumpulan pemegang kepentingan yang pelbagai, CBA telah bekerjasama dengan ahli-ahli dan rakan kongsinya untuk menyumbang kepada kerancakan daerah Chinatown, tambah SLA.

CBA ditubuhkan oleh pihak berkepentingan Chinatown yang diambil daripada kalangan pelbagai perniagaan, pemimpin akar umbi dan peruncit untuk berkhidmat dan mempromosikan kepentingan perniagaan dan komuniti pihak berkepentingan di kawasan tersebut.

Pengarah eksekutifnya, Cik Lim Yick Suan, memberitahu ST ia sedang dalam proses menghubungi rakan kongsi dan pemegang kepentingan utamanya untuk memulakan Projek Nafas Baru Smith Street itu

Dalam dua dekad yang lalu, CBA juga telah mengetuai langkah mempromosikan budaya dan warisan Chinatown Singapura, dengan usaha yang terdiri daripada sambutan perayaan berskala besar, pasar bertema, kegiatan jalanan, acara dan bengkel.

Chinatown Food Street, yang dibuka di Smith Street pada 2001 sebagai sebahagian daripada usaha STB untuk menghidupkan semula Chinatown, ditutup pada Oktober 2021 semasa wabak Covid-19.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg