Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SMRT adakan latihan tangani banjir di stesen MRT

Latihan di Stesen One-North dijalankan selepas hujan di seluruh S’pura pada Nov 2024 catatkan jumlah rekod tertinggi
Dec 13, 2024 | 5:42 PM
Pasukan Tindak Balas Banjir SMRT memasang pengadang banjir bertingkat di Stesen MRT One-North untuk menghalang air banjir ‘masuk’ semasa latihan banjir pada 12 Disember.
Pasukan Tindak Balas Banjir SMRT memasang pengadang banjir bertingkat di Stesen MRT One-North untuk menghalang air banjir ‘masuk’ semasa latihan banjir pada 12 Disember. - Foto ST

Satu pasukan enam anggota SMRT mengambil masa beberapa minit sahaja untuk memasang tiga pengadang banjir bertingkat di stesen MRT One-North, berdekatan Buona Vista pada malam 12 Disember.

Tindakan itu diambil bukan kerana stesen di Laluan Circle itu berisiko ditenggelami air banjir, tetapi ia merupakan sebahagian daripada latihan tahunan persediaan banjir yang dijalankan pengendali rel bagi memastikan kakitangannya bersedia menghadapi situasi banjir di stesen.

Latihan simulasi selama sejam, berdasarkan senario hujan lebat dan angin kencang yang datang dari arah timur laut Singapura.

Dalam latihan tersebut, SMRT menggunakan sistem amaran paras air tinggi PUB untuk memantau risiko banjir di saluran air Sungei Pandan Kechil berdekatan.

Apabila paras air sungai itu melebihi 75 peratus, Pasukan Tindak Balas Banjir diarahkan untuk bersiap sedia. 

Pasukan yang terdiri daripada 20 kakitangan itu kemudian dikerahkan ke stesen One-North, apabila paras air melebihi 90 peratus.

Apabila paras air mencapai muatan penuh, pasukan itu mula mengalihkan pengadang banjir bertingkat setinggi 1.3 meter ke pintu masuk stesen yang berisiko dilimpahi air – untuk menghalang air banjir masuk namun tetap memberi ruang untuk penumpang keluar masuk.

Dalam situasi banjir sebenar, kakitangan stesen akan memantau pintu masuk secara berterusan, lapor The Straits Times.

Semasa latihan simulasi, paras air yang meningkat telah menenggelamkan saluran dan laluan pejalan kaki, justeru, mendorong pasukan itu memasang pengadang bagi melindungi stesen.

Menurut SMRT, dalam situasi banjir sebenar, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan dimaklumkan apabila keadaan itu berlaku, dan penumpang akan diberitahu melalui pengumuman di stesen dan wadah media sosial SMRT.

Pasukan tindak balas banjir akan menutup pintu masuk dengan pengadang logam bertingkat jika paras air melebihi setengah tangga stesen, dan pasukan itu akan mengarahkan penumpang ke pintu masuk yang tidak terjejas.

Pengadang yang terdiri dari empat bahagian yang diletakkan secara bertingkat telah menjalani ujian ketahanan udara untuk memastikan tiada air yang dapat melepasinya. 

Ia akan dialihkan setelah paras air surut dan keadaan cuaca bertambah baik.

Latihan pada 12 Disember diadakan selepas hujan di seluruh S’pura pada November 2024 catatkan jumlah rekod tertinggi.

Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, berkata latihan persediaan banjir yang dijalankan di semua laluan kereta api (SMRT) memastikan kakitangan mereka memberi tindak balas yang pantas dan berkesan, sekali gus mengurangkan kesan terhadap perkhidmatan rel.

Mengulas kerjasama antara PUB dan SMRT, Ketua Jurutera Operasi Saliran di Jabatan Tadahan dan Saliran PUB, Encik Lee Cai Jie, berkata: 

“PUB bekerjasama rapat dengan SMRT dan pihak berkepentingan prasarana kritikal lain untuk memastikan mereka bersedia menghadapi banjir, serta memastikan prasarana awam dan kritikal seperti stesen MRT selamat daripada banjir.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg